Penemuan keratan jasad: Polis tahan dua lagi anak suspek utama
KOTA KINABALU – Polis menahan dua lagi individu dalam siasatan kes penemuan keratan jasad wanita di Indah Permai, Menggatal, baru-baru ini.
Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab Rahman, kedua-dua wanita berusia 29 dan 21 tahun itu ditahan di kawasan Sepanggar dan Inanam dan merupakan anak kepada suspek utama.
“Mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung penglibatan dan pengetahuan mereka mengenai kejadian,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.
Terdahulu, tangkapan pertama melibatkan lelaki tempatan berusia 71 tahun yang juga suspek utama, yang ditahan 12 Februari lalu di Unit Kecemasan Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) di sini.
Susulan itu, seorang lagi lelaki tempatan berusia 19 tahun ditahan pada hari sama di kawasan Sepanggar bagi membantu siasatan.
Syed Lot berkata, hasil tindakan pantas dan siasatan berterusan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, beberapa barangan yang dipercayai berkaitan kes turut dirampas.
“Antara barangan yang dirampas ialah telefon bimbit, pakaian, sepasang sarung tangan, sebilah parang berukuran kira-kira 27 inci, serta sebuah kenderaan jenis Nissan X-Trail,” katanya.
Siasatan awal mendapati motif pembunuhan dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu yang membawa kepada pertengkaran antara suspek dan mangsa sebelum kejadian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |














