BERITA SEMASA

Nani Roslan nafi tuduhan, dakwa terima komen lucah, dituduh terbabit rancang insiden dikaitkan dengan Nik Nazmi

KUALA LUMPUR – Pengacara dan pempengaruh, Nani Roslan kecewa apabila namanya dikaitkan dengan kontroversi penahanan bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, sehingga menerima komen lucah dan tuduhan kononnya terbabit merancang insiden berkenaan.

Nani berkata, spekulasi yang turut membabitkan nama, gambar dan videonya di media sosial itu memaksa beliau tampil menjelaskan bahawa beliau bukan wanita yang dikaitkan dengan penahanan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Khamis lalu.

“Saya percaya tiada wanita berhak untuk menerima komen lucah, direndahkan martabat atau dimalukan berdasarkan spekulasi tidak berasas.

“Malah, ada juga yang membuat tuduhan kononnya saya terbabit dengan rancangan dalam insiden berkenaan.

“Saya ingin tegaskan dakwaan itu tidak benar sama sekali,” katanya menerusi hantaran video di Instagram, semalam.

Nani merupakan pengacara bersama bagi saluran podcast Lebih Masa yang dimiliki oleh Nik Nazmi.

Nani berkata, pada awalnya beliau merasakan tidak perlu untuk tampil menjelaskan perkara itu kepada umum, namun memilih bersuara selepas namanya terus dikaitkan dengan pelbagai spekulasi.

Menurutnya, sepanjang kerjaya sebagai pengacara profesional, beliau mengendalikan pelbagai program dan majlis membabitkan individu daripada latar belakang berbeza.

Semalam, Nik Nazmi mengesahkan beliau antara dua individu yang ditahan JAIS ketika mengadakan perbincangan bersama seorang rakan di sebuah studio di Brickfields.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, mengesahkan penahanan berkaitan kesalahan khalwat membabitkan figura awam di daerah Petaling pada pukul 6 petang, Khamis lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button