Berang ditegur, warga emas dipukul guna tin gam
SEGAMAT – Seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun cedera di dahi selepas dipercayai dipukul menggunakan tin gam oleh seorang lelaki yang disyaki khayal akibat menghidu gam di hadapan sebuah premis perniagaan di Jalan Mohd Yusof, Kampung Abdullah, di sini.
Kejadian dipercayai berlaku selepas suspek berusia 47 tahun berang apabila ditegur mangsa supaya tidak membuat bising di hadapan premis berkenaan.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintenden Mohd Jumazanzahir Chek Ismail berkata, mangsa membuat laporan polis selepas diserang suspek sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Segamat.
Menurutnya, suspek melarikan diri selepas kejadian, manakala siasatan awal mendapati lelaki itu dipercayai turut terbabit dalam pergaduhan di lokasi lain sebelum insiden berkenaan.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat menahan seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.
“Polis turut merampas satu tin gam, sehelai baju dan sehelai seluar jeans bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek mempunyai 33 rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan narkotik, namun ujian saringan awal air kencingnya menunjukkan keputusan negatif dadah.
“Suspek turut mengaku terbabit dalam kejadian itu ketika disoal siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.
Permohonan reman terhadap suspek dijadual dibuat di Mahkamah Majistret Segamat pada hari ini bagi membantu siasatan lanjut.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi talian hotline IPD Segamat di 07-932 4222 atau hadir ke balai polis berhampiran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








