BERITA SEMASA

Ramkarpal, Takiyuddin antara empat anggota Majlis Perkhidmatan Parlimen

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh dan Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan antara empat wakil rakyat yang dilantik menganggotai Majlis Perkhidmatan Parlimen.

Pelantikan itu dipersetujui sebulat suara menerusi usul yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Dua lagi Ahli Parlimen yang dilantik ialah Datuk Seri Hasni Mohammad (Simpang Renggam) dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran).

Anwar berkata, pelantikan empat wakil rakyat itu dibuat mengikut Seksyen 3(2)(f) Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 yang memperuntukkan dua wakil daripada blok kerajaan dan dua lagi daripada pembangkang.

Menurutnya, Jawatankuasa Pemilih dalam mesyuarat pada 13 Oktober lalu bersetuju mencadangkan nama empat Ahli Dewan Rakyat berkenaan untuk menganggotai majlis itu.

Sebelum itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Majlis Perkhidmatan Parlimen merupakan satu daripada dua entiti utama yang akan ditubuhkan di bawah Akta Perkhidmatan Parlimen 2025, selain Perkhidmatan Parlimen.

Keanggotaan majlis itu turut merangkumi Yang Dipertua kedua-dua Dewan, Setiausaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat, selain wakil kerajaan serta pembangkang.

Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 dan pindaan berkaitan terhadap Perlembagaan Persekutuan mula berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu, sekali gus mengembalikan perkhidmatan khusus Parlimen selepas undang-undang terdahulu dimansuhkan pada 1992.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button