BERITA SEMASA

Pemimpin perlu ketepikan ego, utamakan kepentingan negara dan rakyat

KUALA LUMPUR – Pemimpin muda perlu mengetepikan kepentingan peribadi dan ego demi kebaikan bersama, selain bersikap matang serta objektif dalam membuat keputusan.

Pegawai Khas kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Neow Choo Seong berkata, seseorang pemimpin perlu memahami tanggungjawab yang dipikul dan memastikan khidmat diberikan kepada semua pihak tanpa mengira perbezaan parti politik, latar belakang atau kumpulan perwakilan.

“Jika anda mahu menjadi pemimpin, anda perlu menjadi pemimpin untuk semua. Sama ada untuk komuniti sendiri, masyarakat lebih luas, negara atau rantau ini, matlamatnya mestilah untuk membawa kebaikan.

“Jika sesuatu perkara memberi manfaat kepada semua, ketepikan kepentingan diri dan ego, kemudian lakukan apa yang perlu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan mengenai prinsip asas berpolitik dalam program dialog iFUTURE Series Special bertemakan From Citizen to Changemaker: How Young Leaders Can Influence The Future anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), di sini hari ini.

Program tersebut turut disertai bekas calon Ahli Parlimen Singapura, Raj Joshua Thomas serta dihoskan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim.

Neow berkata, perbezaan pandangan merupakan perkara biasa dalam demokrasi, politik dan pertubuhan, namun ia tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kerjasama demi kepentingan masyarakat.

Menurutnya, pemimpin pelajar juga perlu sentiasa mengingati tujuan mereka dipilih sebagai wakil, termasuk tanggungjawab membawa nilai positif kepada rakan serta institusi masing-masing.

Beliau turut mengambil contoh kerjasama antara pemimpin daripada parti berbeza, termasuk dirinya dan Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli yang masih boleh duduk bersama dan membincangkan perkara demi manfaat negara serta rakyat.

Mengulas persoalan mengenai keseimbangan antara kepentingan negara dengan kepentingan rakyat, Neow berkata, pengalaman sebagai diplomat mengajarnya bahawa kepentingan negara perlu menjadi keutamaan, tanpa mengabaikan kebajikan rakyat.

Katanya, diplomat berperanan mempertahankan kepentingan negara di luar negara, manakala pegawai konsular di kedutaan turut bertanggungjawab membantu rakyat Malaysia yang berdepan kesulitan di negara asing.

Beliau berkongsi pengalamannya ketika bertugas di Amerika Syarikat, apabila kedutaan menerima banyak permintaan daripada rakyat Malaysia yang mahu pulang ke tanah air semasa penularan pandemik COVID-19.

Menurutnya, ketika itu lebih 100,000 rakyat Malaysia termasuk yang berdaftar dan tidak berdaftar, berada di negara berkenaan.

“Ketika ratusan ribu orang mahu pulang ke negara masing-masing, ramai rakyat Malaysia menghubungi kedutaan dan bertanya sama ada kerajaan menyediakan pesawat khas untuk membawa mereka pulang.

“Walaupun kerajaan berdepan kekangan kewangan dan tidak mampu membawa pulang semua rakyat Malaysia dari seluruh dunia, kita tetap perlu membantu mereka sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata, pengalaman itu turut mengajarnya bahawa pemimpin perlu mendengar masalah rakyat, memberikan bantuan mengikut kemampuan serta menjelaskan secara jujur perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan.

Katanya, pemimpin tidak seharusnya menjanjikan sesuatu di luar bidang kuasa atau kemampuan mereka semata-mata untuk memenuhi permintaan rakyat.

“Apabila orang datang meminta bantuan, kita perlu mendengar dan membantu sebaik mungkin. Paling penting, jelaskan apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan serta bersikap jujur dengan mereka,” katanya.

Neow menegaskan, bantuan kepada rakyat juga perlu diberikan dalam kerangka undang-undang, termasuk apabila seseorang meminta campur tangan pemimpin bagi mengelakkan tindakan terhadap kesalahan jenayah.

Katanya, walaupun seseorang mendakwa telah mengundi pemimpin berkenaan atau merupakan penduduk kawasan yang diwakilinya, prinsip kedaulatan undang-undang tetap perlu dihormati.

“Jika perkara itu melanggar undang-undang, tidak banyak yang boleh saya lakukan selain menghormati kedaulatan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin yang mempunyai niat betul serta meletakkan kepentingan negara dan rakyat sebagai keutamaan akan lebih mampu melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button