BERITA SEMASA

Malaysia Airlines batal semua penerbangan ke Jeddah, Madinah antara 12 hingga 17 Okober

CYBERJAYA – Semua penerbangan Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur dan Johor Bahru ke Jeddah dan Madinah dari 12 hingga 17 Okt dibatalkan berikutan serangan terbaharu ke atas lapangan terbang di Arab Saudi.

Malaysia Aviation Group (MAG) dalam satu kenyataan memaklumkan, penumpang yang terjejas boleh memilih untuk mendapatkan bayaran balik sepenuhnya atau menukar tarikh penerbangan ke suatu tarikh lain tanpa sebarang kos tambahan, dengan pilihan itu sah selama 30 hari dari tarikh pelepasan asal.

“Malaysia Airlines terus memantau dengan teliti perkembangan di rantau berkenaan, dengan keselamatan penumpang serta anak kapal sentiasa menjadi keutamaan tertinggi,” kata syarikat penerbangan itu dalam kenyataan tersebut, hari ini.

MAG bagaimanapun memaklumkan, penerbangan ke dan dari Doha masih beroperasi seperti biasa buat masa ini.

Permohonan pertukaran tarikh dan bayaran balik boleh dibuat menerusi ruang “My Booking” di laman web atau aplikasi mudah alih syarikat penerbangan berkenaan, melalui Live Chat, atau dengan menghubungi Pusat Hubungan Global di talian 1 300 88 3000 (dalam Malaysia) atau +603 7843 3000 (dari luar negara).

Para penumpang turut diingatkan supaya memastikan maklumat hubungan mereka dikemas kini menerusi “My Booking” bagi menerima sebarang notifikasi terkini tepat pada waktunya.

Laporan media sebelum ini menyebut, beberapa penerbangan dari Malaysia ke Jeddah dan Madinah telah dibatalkan atau dijadualkan semula.

Pembatalan dan penjadualan semula penerbangan itu menyusul selepas serangan peluru berpandu pihak Houthi ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid di Riyadh pada Sabtu dan Ahad, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 13 nyawa dan mencederakan lebih 300 orang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button