Belanjawan 2027: Kenaikan geran KRT bukti PM kotakan janji
PUTRAJAYA – Kenaikan Geran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Aktif daripada RM6,000 kepada RM10,000 setahun yang diumumkan dalam Belanjawan 2027 membuktikan komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menunaikan janji kepada warga KRT.
Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dalam kenyataan berkata, peningkatan sebanyak 66.7 peratus yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 itu mencerminkan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan KRT dalam memperkukuh perpaduan dan pembangunan komuniti di peringkat akar umbi.
Menurut kementerian itu, kenaikan berkenaan amat bermakna selepas kadar geran kekal RM6,000 selama lebih sedekad, sekali gus memberi ruang kepada KRT memperluas pelaksanaan aktiviti yang memberi manfaat langsung kepada penduduk.
“Untuk rekod, kadar Geran KRT Aktif dinaikkan daripada RM4,800 kepada RM6,000 pada 2013 sebelum ditetapkan pada RM10,000 setahun mulai tahun depan.
“Pada tahun lalu, lebih 100,000 aktiviti KRT dilaksanakan di seluruh negara, merangkumi usaha memupuk perpaduan, meningkatkan kesejahteraan penduduk serta menggerakkan pembangunan ekonomi komuniti,” menurut kenyataan itu.
Kementerian itu berkata, peningkatan geran berkenaan bukan sekadar menyediakan pembiayaan untuk program kemasyarakatan, malah menjadi pelaburan sosial yang berupaya menjana pendapatan, membangunkan keusahawanan setempat dan memperkukuh daya tahan komuniti.
Selain itu, Kerajaan MADANI turut memberi perhatian kepada pengukuhan Skim Rondaan Sukarela (SRS) menerusi penyediaan peralatan dan kelengkapan bagi meningkatkan keberkesanan rondaan serta keselamatan penduduk.
“KPN akan memastikan peningkatan geran dan sokongan kepada SRS dimanfaatkan secara berkesan melalui pelaksanaan program berimpak tinggi, pengurusan berakauntabiliti dan inisiatif yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








