BERITA SEMASA

20 kawasan catat IPU tidak sihat, Kota Tinggi tertinggi

KUALA LUMPUR – Sebanyak 20 kawasan di seluruh negara merekodkan kualiti udara pada tahap tidak sihat setakat pukul 7 pagi ini, dengan Kota Tinggi, Johor mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi iaitu 170.

Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), Johor mencatatkan jumlah kawasan paling banyak dalam kategori itu dengan lapan lokasi, termasuk Pasir Gudang (168), Pengerang (164), Larkin (162), Tangkak (156), Batu Pahat (152), Kluang (152) dan Segamat (136).

Selain Johor, Negeri Sembilan turut merekodkan bacaan tidak sihat di Seremban (162) dan Nilai (160), manakala Melaka mencatatkan bacaan 152 di Bukit Rambai. Di Selangor, Johan Setia merekodkan IPU 134.

Di Pantai Timur, Balok Baru di Kuantan mencatatkan bacaan 161, diikuti Rompin (157) dan Indera Mahkota, Kuantan (145). Terengganu pula merekodkan bacaan tidak sihat di Kemaman (158), Paka (156) dan Kuala Terengganu (156).

Kualiti udara di kawasan Lembah Klang turut berada dalam kategori tidak sihat apabila Putrajaya mencatatkan IPU 110, manakala Cheras, Kuala Lumpur merekodkan bacaan 108.

Sementara itu, sebanyak 44 kawasan mencatatkan IPU sederhana, antaranya Port Dickson (99), Alor Gajah (98), Bandaraya Melaka (97), Tawau (94), Miri (92) dan Banting (83).

Hanya tiga kawasan merekodkan kualiti udara pada tahap baik, iaitu Langkawi, Kedah dengan bacaan 28, Balik Pulau, Pulau Pinang (41) dan Kangar, Perlis (43).

Mengikut pengelasan IPU, bacaan antara 101 hingga 200 dikategorikan sebagai tidak sihat, manakala 51 hingga 100 berada pada tahap sederhana dan bacaan 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button