JENAYAH & MAHKAMAH

Isteri maut, suami cedera dalam nahas motosikal di Ipoh

IPOH – Perjalanan sepasang suami isteri berakhir tragedi apabila wanita berusia 55 tahun maut selepas motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan dua kereta di Kilometer 286.5, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu, motosikal jenis Honda ADV160 yang dinaiki pasangan berkenaan dipercayai melanggar sebuah Proton Gen2 yang berhenti di lorong kecemasan sebelum dirempuh sebuah kereta Lexus.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan membabitkan tiga kenderaan itu pada pukul 12.30 tengah hari.

Menurutnya, siasatan awal mendapati Proton Gen2 berkenaan berhenti di lorong kecemasan akibat mengalami kerosakan sebelum motosikal dinaiki pasangan terbabit dipercayai melanggar bahagian belakang sebelah kanan kereta itu.

“Akibat pelanggaran itu, motosikal berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas ke lorong kanan.

“Sebuah kereta Lexus yang datang dari arah belakang dan bergerak sehala kemudian dipercayai melanggar bahagian belakang sebelah kanan motosikal itu menyebabkan penunggang dan pembonceng tercampak ke atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, penunggang dan pembonceng motosikal mengalami kecederaan dalam kejadian itu, namun wanita berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas paramedik.

Katanya, suami mangsa yang turut cedera kemudian dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini untuk mendapatkan rawatan.

“Pemandu Proton Gen2, lelaki berusia 53 tahun dan pemandu Lexus, wanita berusia 41 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kemalangan,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di talian 05-2451500 bagi membantu siasatan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button