Belanjawan 2027 buka peluang kerjaya wanita muda
KUALA LUMPUR – Belanjawan 2027 membuka ruang kepada lebih ramai wanita muda untuk menceburi bidang berkemahiran tinggi, keusahawanan dan pekerjaan masa hadapan.
Ketua Srikandi PKR Malaysia, Nurhidayah Che Rose berkata, peruntukan RM8 bilion bagi pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) serta sasaran 30,000 peluang pekerjaan baharu menerusi Bakat MADANI mampu membantu wanita muda menyertai sektor teknologi dan digital.
Menurutnya, peluang latihan itu perlu disusuli penawaran pekerjaan bergaji tinggi serta peningkatan pendapatan yang mampu mengubah taraf hidup golongan berkenaan.
“Wanita muda mesti mendapat tempat dalam pekerjaan bergaji tinggi dan industri masa hadapan. Peruntukan latihan perlu diterjemahkan kepada peluang kerjaya dan peningkatan pendapatan yang nyata,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Geran Sejahtera MADANI berjumlah RM200 juta bagi menyediakan peralatan dan latihan kepada 40,000 penerima, khususnya wanita, turut berpotensi mengembangkan perniagaan yang diusahakan wanita muda.
Bagaimanapun, beliau menegaskan proses permohonan perlu dipermudah, pemilihan penerima dilaksanakan secara telus dan bimbingan berterusan disediakan bagi memastikan bantuan berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya.
Nurhidayah turut menyambut baik insentif caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja gig yang layak, yang menurutnya dapat memperkukuh perlindungan sosial serta simpanan persaraan wanita muda.
Selain itu, Srikandi PKR Malaysia menyambut baik bantuan SARA MADANI sebanyak RM100 yang diberikan dua kali kepada warganegara berusia 18 tahun ke atas yang bukan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), masing-masing sebelum Aidilfitri dan menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-70.
Beliau berkata, bantuan itu dapat meringankan beban perbelanjaan asas golongan berkenaan.
Nurhidayah turut berkata, pelaksanaan Belanjawan 2027 perlu memastikan peluang pekerjaan, latihan dan bantuan dapat diakses wanita muda di peringkat akar umbi, sekali gus meningkatkan pendapatan serta kesejahteraan mereka.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








