Belanjawan 2027: KPT terima RM19.1 bilion, fokus prasarana, kebajikan mahasiswa dan penyelidikan
KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyambut baik peruntukan RM19.1 bilion yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Belanjawan MADANI 2027 semalam.
KPT dalam kenyataannya berkata, peruntukan yang ditingkatkan sebanyak RM500 juta berbanding belanjawan terdahulu itu akan disalurkan untuk menaik taraf prasarana instituasi pengajian tinggi awam (IPTA), kebajikan mahasiswa serta mengukuhkan aspek penyelidikan dan inovasi.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM15.13 bilion akan diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus, manakala RM3.96 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
“Peningkatan peruntukan ini mencerminkan komitmen dan perhatian berterusan YAB
Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan serta
Kerajaan MADANI terhadap pembangunan sektor pendidikan tinggi negara.
“Ia sekali gus memperlihatkan kesungguhan Kerajaan untuk memastikan Institusi Pendidikan
Tinggi (IPT) terus diperkasa sebagai pusat kecemerlangan ilmu, pembangunan bakat
dan inovasi, di samping memperluas akses pendidikan berkualiti serta menjamin
kesejahteraan mahasiswa,” menurut kenyataan KPT hari ini.
Menurut KPT, antara inisiatif utama ialah peruntukan RM800 juta bagi menaik taraf prasarana usang IPTA termasuk bilik kuliah, kediaman mahasiswa dan peralatan pembelajaran.
Selain itu, pembangunan Residensi Mahasiswa Universiti Malaya bakal menyediakan kemudahan penginapan berkapasiti 10,000 mahasiswa, manakala Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) akan melabur sebanyak RM750 juta menerusi Projek Vista Kampus di enam IPTA.
“Bagi meringankan kos sara hidup mahasiswa, subsidi tiket penerbangan FLYSiswa turut dinaikkan kepada RM500, yang dijangka memanfaatkan lebih 60,000 mahasiswa IPTA, khususnya bagi perjalanan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Program Dapur Siswa MADANI turut diteruskan di universiti awam dan diperluas ke politeknik serta Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi menyediakan makanan pada harga berpatutan kepada lebih ramai pelajar,” katanya.
Dalam pada itu, lebih 400,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dijangka mendapat manfaat daripada langkah fleksibiliti bayaran balik pinjaman yang diumumkan kerajaan.
“Langkah berkenaan merangkumi penangguhan bayaran balik bagi peminjam berpendapatan kurang RM2,500 sebulan, bayaran minimum RM50 bagi mereka yang berpendapatan antara RM2,500 hingga RM3,000 serta diskaun 10 peratus kepada peminjam tanpa tunggakan yang membuat bayaran secara konsisten,” katanya.
Kerajaan turut menyediakan insentif potongan cukai kepada majikan yang membantu melunaskan pinjaman pendidikan pekerja bagi mengurangkan komitmen kewangan graduan.
Bagi memperkukuh penyelidikan dan inovasi, Dana UNIVC bernilai RM50 juta akan diwujudkan menerusi kerjasama kerajaan dengan KWAP untuk mempercepat pengkomersialan hasil penyelidikan serta harta intelek universiti.
Selain itu, insentif potongan cukai pendapatan sehingga 10 peratus diperkenalkan bagi sumbangan pihak luar kepada IPTA bagi menggalakkan penglibatan sektor korporat, industri, alumni dan masyarakat dalam pembangunan universiti.
Belanjawan MADANI 2027 turut menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah FIRA RoboWorld Cup ke-32 pada 2027, susulan kejayaan kontinjen Politeknik dan Kolej Komuniti Malaysia meraih 14 pingat pada edisi ke-31 di Kanada pada Julai lalu.
Menurut KPT, kementerian itu komited memastikan setiap peruntukan dan inisiatif dilaksanakan secara berkesan, telus serta berimpak tinggi, selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








