Pelajar lelaki jatuh bangunan sekolah sudah sedar, masih dalam pemantauan – JPN Kedah
ALOR SETAR – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah terus memantau keadaan seorang murid Tingkatan Satu yang parah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga sebuah sekolah menengah di Kulim Bandar Baharu, Ahad lalu.
Murid lelaki berusia 13 tahun itu kini dilaporkan sedar dan masih menerima rawatan serta pemantauan rapi di hospital.
Dalam kenyataan hari ini, JPN Kedah berkata pihaknya bersimpati dengan kejadian yang menimpa murid terbabit dan mendoakan agar dia diberikan kesembuhan.
“Sejurus menerima maklumat mengenai kejadian itu, pihak sekolah bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulim Bandar Baharu mengambil tindakan segera termasuk menghubungi waris dan membuat laporan kepada pihak berkuasa.
“Dalam masa sama, sokongan psikososial turut disediakan kepada murid, keluarga serta rakan-rakan yang terkesan susulan kejadian berkenaan,” katanya.
JPN Kedah berkata, pihaknya turut mengambil maklum dapatan awal siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mendapati murid berkenaan dipercayai berdepan tekanan berkaitan pencapaian akademik.
Bagaimanapun, katanya, siasatan berhubung kejadian itu masih dijalankan dan JPN Kedah memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
“JPN memandang serius aspek kesejahteraan emosi dan mental pelajar, selain menggesa ibu bapa serta warga pendidik supaya lebih peka terhadap perubahan emosi mereka dan segera dibantu.
“JPN juga akan terus memantau perkembangan kes berkenaan dan memastikan sokongan bersesuaian diberikan kepada pelajar serta warga sekolah yang terkesan,” katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Syamsul Sinring, dilaporkan berkata murid berkenaan parah selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah ketika waktu rehat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








