Berita Semasa

7,684 mangsa banjir sejak MTL bermula – Armizan

KUALA LUMPUR – Seramai 7,684 mangsa terkesan akibat banjir sejak Monsun Timur Laut melanda negara pada 11 November lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, jumlah itu melibatkan 1,976 keluarga yang ditempatkan di 49 pusat pemindahan sementara dan 12 daerah merentasi negeri Kelantan, Terengganu, Perlis, Kedah dan Selangor.

Sehubungan itu, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) selaku peneraju pengurusan bencana telah membuat penyelarasan awal bersama agensi utama di lapangan bagi pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

“JKM menyediakan 8,481 pusat pemindahan sementara yang mempunyai kapasiti untuk menempatkan 1.620 juta di seluruh negara.

“JKM juga melantik 868 pembekal barangan keperluan asas dan 1,224 pembekal makanan di seluruh negara sebagai persediaan menghadapi bencana, ” kata Armizan ketika waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusof (PN – Rantau Panjang) yang bertanyakan mengenai situasi terkini banjir dan langkah kerajaan memastikan kebajikan mangsa di PPS terjaga.

Berkenaan prasarana sanitasi, Armizan berkata, penggunaan tandas bergerak bagi pusat pemindahan sementara melibatkan peruntukan sebanyak RM10 juta.

“NADMA juga menyalurkan sejumlah RM10 juta untuk pembaikan-pembaikan seperti tandas bagi meningkatkan prasarana di pusat pemindahan sementara untuk menempatkan mangsa-mangsa banjir,” katanya.

Setakat pagi 30 November 2023, sebanyak 123 keluarga melibatkan seramai 426 mangsa masih ditempatkan di lima pusat pemindahan sementara di empat daerah meliputi negeri Kelantan (317), Terengganu (22) dan Pahang (87).

Show More

Related Articles

Back to top button