JENAYAH & MAHKAMAH

Irene Sofiya maut akibat trauma tumpul di kepala – Polis

BATU PAHAT – Pelajar perempuan berusia 16 tahun, Irene Sofiya, yang ditemukan maut di sebuah sekolah menengah di Yong Peng, di sini pada Sabtu lalu, disahkan meninggal dunia akibat kecederaan trauma tumpul di kepala.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar, berkata perkara itu disahkan menerusi bedah siasat yang dijalankan Pakar Patologi Forensik di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, semalam.

Menurut beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan siasatan kes itu dijalankan secara menyeluruh, telus dan profesional tanpa sebarang usaha menyembunyikan fakta atau melindungi mana-mana pihak.

“Siasatan kini berjalan lancar dan mendapat kerjasama penuh daripada pihak sekolah terbabit serta Kementerian Pendidikan (KPM).

“Polis juga sudah menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun pada 3 Oktober lalu, iaitu pada hari kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

M Kumar berkata, suspek kini direman selama enam hari bermula 4 hingga 9 Oktober selepas permohonan reman diluluskan Majistret.

Katanya, kes itu disiasat Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Dalam pada itu, beliau menggesa orang ramai supaya menghentikan penyebaran maklumat palsu dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.

“Kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat spekulasi atau memberi sebarang komen yang boleh mengganggu proses siasatan atau memanipulasi fakta sehingga menyebabkan kegusaran dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Irene Sofiya sebelum ini ditemui maut di sebuah dewan sekolah oleh neneknya yang datang ke sekolah berkenaan selepas menyedari mangsa tidak pulang ke rumah kira-kira 5.30 petang pada Sabtu lalu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button