JENAYAH & MAHKAMAH

Pemilik syarikat dituduh kemuka tuntutan palsu Program Daya Kerjaya 2.0

JOHOR BAHRU – Seorang pemilik syarikat dituduh di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tiga pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan Program Daya Kerjaya 2.0 bernilai RM25,500, dua tahun lalu.

Tertuduh, Eh Chong Min, 52, merupakan pemilik syarikat Alliance SB Marketing bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kanageswari Nallah.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu sekitar tahun 2024 hingga 2025 dengan mengemukakan dokumen tuntutan yang mengandungi butir matan palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Tuntutan tersebut dibuat bagi mendapatkan bayaran insentif di bawah Program Daya Kerjaya 2.0.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rais Adha Ramli manakala tertuduh diwakili peguam bela K Bharathi daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Pendakwaan dikemukakan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Semasa prosiding, pihak mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM9,000 dengan seorang penjamin.

Selain itu, Hakim Kanageswari turut memerintahkan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah serta diarah melaporkan diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan sebagai syarat tambahan jaminan.

Mahkamah menetapkan 20 Oktober sebagai tarikh sebutan semula kes.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button