Harga minyak, LNG dan arang batu meningkat susulan ketegangan Asia Barat
PUTRAJAYA – Harga tiga sumber bahan api utama iaitu minyak mentah, gas asli cecair (LNG) dan arang batu menunjukkan peningkatan susulan perkembangan geopolitik terkini di Asia Barat.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, purata harga minyak mentah Brent pada Ogos meningkat 8.9 peratus kepada AS$90.88 (RM371.12) setong berbanding AS$83.42 (RM340.65) pada Julai.
“Harga harian Brent turut melebihi AS$120 (RM490.03) setong pada minggu ini, berbanding purata lebih rendah pada Ogos.
“Purata harga LNG pula naik 13.2 peratus daripada AS$19.32 (RM78.89) setiap juta BTU pada Julai kepada AS$21.87 (RM89.30) pada Ogos.
“Malah sehingga pertengahan September, harga LNG menghampiri AS$30 (RM122.50) setiap juta BTU,” katanya pada Taklimat Krisis Bekalan Global, di sini hari ini.
Bagi arang batu, katanya, harga meningkat secara sederhana daripada AS$129.63 (RM529.36) satu tan pada Julai kepada AS$130.67 (RM533.61) satu tan pada Ogos sebelum mencecah AS$148 (RM604.36) satu tan pada 10 September.
Menurutnya, kenaikan harga berkenaan memberi kesan langsung kepada kos penjanaan elektrik.
“Secara keseluruhannya ketiga-tiga sumber bahan api utama menunjukkan tekanan harga yang lebih tinggi pada September berbanding Ogos, khususnya minyak mentah dan LNG.
“Ini menunjukkan walaupun pasaran global sedang menyesuaikan diri, gangguan geopolitik dan laluan bekalan masih boleh mencetuskan lonjakan harga dalam tempoh yang singkat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








