BERITA SEMASA

Timbalan Menteri Agama nafi terlibat ajaran New Age, beri tempoh 24 jam tarik balik kenyataan

PUTRAJAYA – Pejabat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengaitkan Senator Marhamah Rosli dengan amalan perdukunan, sihir, azimat serta ajaran New Age.

​Dalam satu kenyataan media hari ini, pihak pejabat berkenaan memandang serius penyebaran kandungan tular yang didakwa sengaja menyunting dan mencantum tangkap layar lama bagi menimbulkan gambaran tidak benar terhadap beliau.

​Menurut kenyataan itu, tangkap layar hantaran bertarikh 20 September 2019 yang disebarkan semula adalah dibuat khusus dalam konteks pembangunan insan (human development) dan bukannya satu sokongan mahupun pengiktirafan terhadap keseluruhan pegangan atau amalan individu terbabit.

​”Beliau tidak pernah berguru, menghadiri kelas, bertemu atau berhubungan secara langsung dengan individu berkenaan. Beliau juga tidak pernah mengiktiraf individu tersebut sebagai guru atau mengajar, mempromosi mahupun menyebarkan amalan perdukunan, sihir, azimat atau ajaran New Age,” katanya.

​Kenyataan itu turut mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang mencantumkan tangkap layar lama tersebut dengan video-video lain yang tidak diketahui kewujudannya oleh Marhamah sehingga menimbulkan fitnah.

​Menegaskan kaedah kehakiman Islam Al-bayyinatu ‘ala al-mudda’i (Bukti adalah atas pihak yang mendakwa), pejabat berkenaan menggesa mana-mana pihak agar mengemukakan bukti berasaskan perkataan atau perbuatan asal Marhamah sendiri, bukan melalui olahan cantuman kandungan pihak lain.

​Sehubungan itu, Pejabat Timbalan Menteri memberi tempoh 24 jam kepada pihak yang menerbitkan atau menyebarkan dakwaan tanpa bukti tersebut untuk menarik balik dan memadamkan penerbitan berkenaan.

Pada masa sama, pihaknya turut menggesa pihak terbabit dan membuat permohonan maaf serta pembetulan secara terbuka di platform yang sama.

“Kegagalan berbuat demikian boleh menyebabkan kes ini dirujuk untuk tindakan undang-undang yang sewajarnya,” katanya.

Sementara itu, pejabat berkenaan turut menyeru masyarakat agar lebih bertanggungjawab dalam menyampaikan maklumat dan tidak membuat kesimpulan berdasarkan bahan yang dipetik di luar konteks.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button