BERITA SEMASA

Kenyataan Media EXCO Negeri Sembilan tidak sah, tiada kesan undang-undang – AGC

PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan bahawa kenyataan media serta pengumuman oleh ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Negeri Sembilan berhubung penamatan atau perletakan jawatan Yang di-Pertuan Besar adalah tidak sah, tidak mempunyai kesan dari segi undang-undang dan tidak berperlembagaan.

​Menurut kenyataan media AGC, perkara tersebut berbangkit susulan dokumen kenyataan media bertarikh semalam daripada Kerajaan Negeri Sembilan.

​Katanya, Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak mempunyai sebarang kuasa unilateral (sebelah pihak) untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar. Sebarang penentuan mesti mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri 1959 (UUTKNS 1959).

​”Pandangan awal AGC mendapati Proklamasi bertarikh 19 April 2026 yang dirujuk oleh pihak Kerajaan Negeri adalah tidak sah kerana gagal mematuhi kehendak mandatori Perkara 10 UUTKNS. Tiada sebarang fakta atau keterangan menunjukkan berlakunya hilang kelayakan ke atas Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir,” katanya hari ini

​Dalam pada itu AGC turut mendapati komposisi Undang Yang Empat pada masa material adalah tidak lengkap.

Katanya, beberapa Datuk Undang yang menandatangani proklamasi tersebut dipertikaikan keabsahannya kerana dikatakan telah turun jawatan mengikut adat luak masing-masing.

​”Menurut Perkara 16 UUTKNS 1959, sebarang persoalan adat Melayu termasuk pemilihan, pelantikan, mahupun pemecatan Undang terletak di bawah bidang kuasa Dewan Undangan dan Keadilan. Nasihat Dewan ini adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, isu berkenaan kini berada dalam prosiding Mahkamah Tinggi Malaya di Seremban dan terdapat perintah interlocutory injunction (injunksi sela) yang masih berkuat kuasa.

“AGC menyeru semua pihak agar menghormati proses perundangan dan membenarkan perkara tersebut diselesaikan mengikut tatacara undang-undang secara teratur,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button