Penagih dadah wanita di Malaysia terus meningkat – AADK
KOTA BHARU – Jumlah wanita dikesan terbabit dalam penyalahgunaan dadah di negara ini merekodkan peningkatan daripada 8,638 penagih pada 2024 kepada 8,926 penagih tahun lepas.
Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh berkata, daripada jumlah itu golongan belia berusia 19 hingga 39 tahun mencatatkan paling ramai terlibat, iaitu sebanyak 6,193 orang, diikuti dewasa antara 40 hingga 59 tahun (2,567) dan remaja (166).
“Dadah jenis Amphetamine-Type Stimulants menjadi bahan terlarang tertinggi diambil golongan wanita, iaitu 7,588 orang, diikuti opiat (762); ganja (138); pil psikotropik (119) dan lain-lain, termasuk ketum serta kokain (319 orang),” katanya.
Ruslin berkata, laporan daripada United Nations on Drugs and Crime (UNODC) menyatakan cabaran bagi wanita untuk mendapatkan rawatan adalah jauh lebih kompleks berbanding lelaki.
“Walaupun statistik menunjukkan peratusan wanita lebih rendah, iaitu 4.7 peratus berbanding lelaki 95.3 peratus pada tahun lepas, halangan mereka hadapi selalunya lebih bersifat sistemik dan emosi.
“Masyarakat cenderung melihat penagihan dalam kalangan wanita sebagai satu kegagalan moral lebih besar berbanding lelaki,” katanya.
Beliau berkata, golongan wanita secara statistik sering mempunyai sumber kewangan lebih terhad atau bergantung secara ekonomi kepada pasangan.
“Kos rawatan seperti pengangkutan ke fasiliti AADK menjadi bebanan yang berat. UNODC melaporkan wanita sukar mendapatkan rawatan jika pasangan mereka juga seorang penagih mengawal pergerakan mereka atau menghalang mereka daripada berubah,” katanya.
Melalui Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pada pindaan berkuat kuasa 22 Ogos 2025, golongan wanita boleh mendapatkan rawatan secara sukarela dalam komuniti di bawah pengawasan Pegawai Pemulihan atau Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) secara percuma.
“Kita turut menyediakan perkhidmatan Mobilisasi Rawatan Pemulihan Tanpa Sempadan (MRT) AADK ke kawasan pedalaman, sekali gus mengatasi kekangan logistik yang sering dihadapi oleh golongan wanita,” katanya. – BERNAMA
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








