BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Kartel dadah kontena dalam radar polis – Pengarah JSJN

KUALA LUMPUR – Kartel besar yang menyeludup masuk dadah ke negara seperti didedahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebenarnya dalam radar Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tindakan sedang dijalankan bagi membanteras kegiatan itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, JSJN memang mempunyai maklumat berkaitan kartel berkenaan malah tindakan juga sudah dijalankan dan ada yang dalam tindakan.

“Penyeludupan dadah menggunakan kontena ini adalah kaedah lama namun masih digunakan sindiket sehingga kini.

“Sehubungan itu, JSJN bekerjasama dengan agensi dalaman seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan pihak berkuasa pelabuhan dan juga kerjasama antarabangsa dengan agensi berkuasa negara lain,” katanya memetik laporan Harian Metro hari ini.

Ditanya mengenai pendedahan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa wujud pembabitan ahli politik dalam kegiatan berkenaan, beliau berkata, JSJN ada menjalankan siasatan terhadap kartel sindiket dadah terbabit dan siasatan masih berjalan.

“JSJN juga menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa Australia dari segi membekalkan hasil siasatan termasuk berkongsi laporan forensik malah pihak berkuasa Australia juga akan akan menuduh seorang suspek di sana,” katanya.

Media hari ini melaporkan Perdana Menteri mendedahkan wujudnya sebuah kartel besar menyeludup masuk dadah ke negara ini yang didengarinya sejak 20 tahun lalu dan tidak ada tindakan.

Anwar berkata, selepas beliau menjadi Perdana Menteri dan menunggu selama setahun, namun tidak ada laporan mengenai kartel besar yang membawa dadah itu menerusi kontena.

Beliau turut membangkitkan persoalan berkenaan kepada agensi yang bertanggungjawab, susulan ramai orang bercakap mengenai perkara itu.

Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam masa sama memuji agensi penguat kuasa di negara ini yang sudah mengambil tindakan untuk membanteras kegiatan itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button