Virgo Transport 8 tidak terlebih muatan ketika belayar – Menteri Pengangkutan Indonesia
JAKARTA – Kapal feri KMP Virgo Transport 8 yang terlibat kemalangan di perairan Laut Jawa disahkan tidak terlebih muatan ketika belayar, menurut Menteri Pengangkutan Indonesia, Dudy Purwagandhi.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal yang diterima, kapasiti kapal berkenaan juga tidak dipenuhi sepenuhnya ketika kejadian.
“Perlu ditegaskan bahawa KMP Virgo Transport 8 belayar dalam keadaan tidak terlebih muatan. Bagaimanapun, kita perlu menunggu siasatan menyeluruh daripada Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional (KNKT) bagi mengetahui punca sebenar kemalangan kapal itu,” katanya dalam kenyataan rasmi semalam.
Dudy berkata, KNKT kini berada di lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan awal, termasuk mengumpul data berkaitan spesifikasi kapal serta mendapatkan keterangan daripada penumpang dan kru yang terselamat.

Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat penumpang kapal berkenaan memasuki hari kedua dengan jumlah anggota pasukan gabungan ditambah kepada lebih 600 orang.
Menurut Dudy, setakat ini seramai 114 mangsa berjaya ditemui, termasuk 108 yang terselamat manakala enam disahkan meninggal dunia.
“Berhubung jumlah penumpang yang ditemui, kita kini berjaya menemukan seorang lagi penumpang dalam keadaan selamat.
“Alhamdulillah, jumlah keseluruhan yang ditemui ialah 114 orang, dengan 108 selamat dan enam meninggal dunia,” katanya.
Virgo Transport 8 yang membawa 213 penumpang dan 30 anak kapal, terputus hubungan kira-kira 2 pagi Ahad lalu semasa dalam pelayaran dari Surabaya di Jawa Timur ke Banjarmasin di Kalimantan sebelum ditemukan terbalik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







