Polis gesa pempengaruh, masyarakat jangan ambil tindakan sendiri terhadap Rohingya
BACHOK – Pempengaruh media sosial dan masyarakat diingatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri terhadap etnik Rohingya di kawasan tertentu kerana dikhuatiri boleh menjejaskan keamanan negara.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, sebarang isu membabitkan etnik berkenaan perlu diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan mengikut undang-undang.
Katanya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mempunyai bidang kuasa serta saluran sewajarnya bagi menjalankan penguatkuasaan.
āMasyarakat yang mempunyai kekeliruan atau berdepan kejadian melibatkan etnik Rohingya perlu melaporkannya kepada pihak berkuasa.
āJangan buat undang-undang di tangan sendiri dan biar pihak berkuasa yang menangani isu-isu ini. Banyak provokasi atau mesej negatif berkaitan Rohingya di media sosial ketika ini dan kita tidak mahu keadaan itu memecah keamanan,ā katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perbarisan Tamat Latihan dan Penyampaian Sijil Pelantikan Inspektor Kor Sukarelawan Simpanan Polis Siswa/Siswi Universiti Awam Ke-22 2026 di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok, di sini hari ini.
Noor Hisam berkata, tindakan orang perseorangan termasuk pempengaruh yang mengambil tindakan sendiri dikhuatiri melampaui batas dan tidak mengikut lunas undang-undang.
āKita ada undang-undang dan peraturan. Akan ada impak dan implikasi yang selalunya negatif jika semua orang mengambil tindakan sendiri kerana perbuatan itu akan dipengaruhi emosi,ā katanya memetik laporan Kosmo! Online.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kepada polis atau Jabatan Imigresen Malaysia bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil dengan segera.
Katanya, pendekatan berasaskan undang-undang penting bagi mengelakkan isu berkenaan daripada dieksploitasi sehingga mencetuskan provokasi dan menjejaskan keharmonian masyarakat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








