Kedutaan Malaysia pantau rakyat terkandas susulan gangguan penerbangan di Jakarta
JAKARTA – Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta terus memantau keadaan rakyat Malaysia yang terkandas susulan gangguan penerbangan di Indonesia pada 6 dan 7 September lalu.
Kedutaan itu dalam kenyataan memaklumkan sebahagian rakyat Malaysia yang sebelum ini melaporkan diri sebagai terkandas telah mengesahkan mereka selamat kembali ke Malaysia.
“Sebahagian daripada mereka memaklumkan telah selamat kembali ke Malaysia,” menurut kenyataan itu malam tadi.
Dalam pada itu, rakyat Malaysia yang merancang perjalanan ke Indonesia, khususnya melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, dinasihatkan merancang perjalanan dengan teliti serta menyemak status penerbangan dengan syarikat penerbangan masing-masing dari semasa ke semasa.
Menurut kedutaan, walaupun Soekarno-Hatta kembali beroperasi sejak 8 September lalu, syarikat penerbangan masih melakukan penyesuaian terhadap jadual penerbangan dan pengurusan penumpang, terutama penerbangan keluar dari Jakarta.
Gangguan penerbangan sebelum ini berlaku susulan ancaman debu abu gunung berapi Anak Krakatau, yang turut menyebabkan Soekarno-Hatta dan tujuh lagi lapangan terbang ditutup sementara.
Kedutaan memaklumkan aktiviti Gunung Anak Krakatau di Wilayah Lampung masih berada pada Tahap III, iaitu tahap kedua tertinggi dalam sistem amaran gunung berapi empat peringkat Indonesia, dengan aktiviti letusan masih direkodkan pihak berkuasa.
Selain Anak Krakatau, beberapa gunung berapi lain turut dilaporkan aktif ketika ini, antaranya Gunung Ile Lewotolok di Nusa Tenggara Timur, Gunung Ibu di Maluku Utara dan Gunung Semeru di Jawa Timur.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menerusi talian +62 21 522 4947 / 4948 atau WhatsApp di +62 813 8081 3036.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








