BERITA SEMASA

Nahas helikopter: Operasi Flying Doctor Service di Sarawak ditangguhkan sementara

PUTRAJAYA – Semua operasi Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service – FDS) di Sarawak ditangguhkan sementara berkuat kuasa susulan insiden kemalangan sebuah helikopter yang digunakan bagi perkhidmatan itu di Long Lellang, Miri.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, penangguhan berkenaan bagi membolehkan siasatan serta semakan terhadap mekanisme keselamatan dan operasi dilaksanakan oleh pihak berkaitan.

Menurutnya, perkhidmatan Pemindahan Perubatan (Medevac) bagi kes kecemasan bagaimanapun akan diteruskan menerusi kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Pada masa sama, KKM akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meneroka usaha menggunakan aset ATM untuk pesakit yang memerlukan rawatan kecemasan dipindahkan ke fasiliti kesihatan yang bersesuaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, KKM turut akan melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap keseluruhan kerangka penyampaian perkhidmatan FDS di Sarawak.

Penilaian itu katanya, merangkumi aspek kontrak, tadbir urus, keselamatan operasi, keperluan liputan serta keberkesanan model penyampaian perkhidmatan sedia ada.

“Penilaian ini bertujuan untuk memastikan pendekatan yang akan dilaksanakan pada masa hadapan adalah lebih selamat, berdaya tahan, mampan dan responsif terhadap keperluan kesihatan masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, KKM juga sedang menilai semula lokasi dan kaedah akses perkhidmatan FDS, termasuk alternatif pengangkutan serta pendekatan lain yang selamat dan praktikal.

Langkah itu katanya, bagi memastikan masyarakat di kawasan pedalaman terus mendapat akses kepada perkhidmatan kesihatan meskipun operasi FDS ditangguhkan sementara.

“KKM memahami kesukaran dan cabaran yang mungkin timbul susulan penangguhan sementara ini.

“Walau bagaimanapun, keselamatan petugas dan pesakit kekal menjadi keutamaan KKM, di samping memastikan kesinambungan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman,” katanya.

KKM akan terus memantau situasi dari semasa ke semasa dan memaklumkan perkembangan terkini kepada orang awam sewajarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button