Inkues Zara Qairina: Pakar forensik kekal kesimpulan kematian selari dengan bunuh diri
KOTA KINABALU – Pakar Perunding Psikiatri Forensik, Dr Chua Sze Hung kekal dengan kesimpulannya bahawa cara kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir paling konsisten dengan bunuh diri.
Bagaimanapun, beliau menegaskan penentuan muktamad mengenai cara kematian remaja berusia 13 tahun itu adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Koroner, memetik laporan BH Online.
Menurutnya, kesimpulan yang dibuat adalah berdasarkan pendapat pakar mengikut imbangan kebarangkalian, manakala keputusan akhir terserah kepada mahkamah.
Dr Chua dipanggil semula memberi keterangan di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan selepas Pakar Perunding Psikiatri, Dr Simon Wong, yang dipanggil oleh pasukan guaman ibu Zara, selesai memberikan keterangannya.
Beliau sebelum ini telah memberikan keterangan pada April lalu.
Dalam keterangannya sebelum ini, Dr Chua menyatakan soal siasat yang memberi tekanan dan pengasingan di A-3-6 pada pagi atau malam kejadian merupakan faktor langsung yang menyumbang kepada kematian Zara, manakala faktor lain dikenal pasti sebagai kecenderungan atau faktor tidak langsung.
Beliau turut berpandangan pendekatan autopsi psikologi lebih relevan untuk membantu mahkamah menentukan cara kematian berbanding laporan penilaian atau rumusan psikiatri klinikal yang tidak bertujuan menentukan cara kematian.
Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di tingkat bawah asrama sekolahnya pada 16 Julai 2025 sebelum disahkan meninggal dunia pada hari berikutnya di Hospital Queen Elizabeth.
Prosiding inkues yang bermula pada 3 September 2025 telah mendengar keterangan pelbagai saksi, termasuk pelajar, guru, pegawai polis, pakar patologi forensik, pakar psikiatri serta pemeriksa dokumen forensik.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








