Helikopter terhempas: Lebih 20 anggota digerakkan ke lokasi nahas
MIRI – Lebih 20 anggota daripada pelbagai agensi termasuk 12 anggota bomba digerakkan bagi operasi mencari dan menyelamat (SAR) helikopter yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang (STOLport), Ulu Baram, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marudi, Penolong Penguasa Bomba Jessbent Jenus berkata, pasukan terbabit dijadual berlepas kira-kira jam 9 pagi menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) jenis Mi-171.
“Penggunaan pengangkutan udara diperlukan memandangkan perjalanan darat dari Marudi ke lokasi kejadian mengambil masa kira-kira 10 jam,” memetik BH online.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata, status lima individu yang berada dalam helikopter berkenaan masih belum dapat dipastikan.
Beliau berkata, operasi SAR ketika ini turut bergantung kepada bantuan penduduk kampung, anggota RELA dan polis bantuan di Long Lellang.
“Bantuan udara daripada Pangkalan Udara PDRM Kuching tidak dapat digerakkan berikutan keadaan jerebu serta tidak mendapat kebenaran terbang daripada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM),” katanya lagi.
Sebelum itu, helikopter jenis BO-105 milik Layang-Layang Aerospace dilaporkan terhempas ketika menjalankan operasi Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service) berhampiran STOLport Long Lellang.
CAAM mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) akan menjalankan siasatan berhubung insiden itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








