BERITA SEMASA

Helikopter terhempas: Keluarga sahkan Dr Ainul meninggal dunia

KOTA BHARU – Keluarga mengesahkan pegawai perubatan, Dr Ainul Baroah Kamaruddin, 32, meninggal dunia dalam nahas helikopter yang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak, petang tadi.

Adik ipar Allahyarham, Nureez Mohd Pauzi berkata, pihak Kementerian Kesihatan (KKM) menghubungi suami Dr Ainul, Muhammad Faiz Abdul Malik, 37, kira-kira jam 4 petang bagi memaklumkan berita berkenaan.

“Kementerian Kesihatan menghubungi keluarga memaklumkan Dr Ainul yang berada dalam nahas helikopter berkenaan meninggal dunia.

“Kami sekeluarga kini berada di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu untuk ke Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Sarawak pada Subuh esok,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Menurutnya, keluarga masih dalam keadaan terkejut dengan kejadian itu dan hanya mengetahui Dr Ainul berada dalam penerbangan berkenaan selepas dimaklumkan suaminya.

Dr Ainul yang berasal dari Kota Bharu dilaporkan mula bertugas di sebuah hospital di Miri, Sarawak, sejak tahun lalu.
Sebelum itu, Allahyarham bertugas di Hospital Tanah Merah (HTM) sebelum berpindah ke Sarawak bagi mengikuti suaminya yang bertugas sebagai guru di Miri.

“Kami terus membeli tiket penerbangan ke Sarawak sebaik menerima panggilan berkenaan.

“Setakat ini, kami sekeluarga tidak tahu Dr Ainul mahu ke mana ketika menaiki helikopter berkenaan memandangkan suaminya juga masih dalam keadaan terkejut,” katanya.

Terdahulu, sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima penumpang termasuk juruterbang dilaporkan terhempas dan terbakar berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram.

Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pihaknya menerima notifikasi daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada jam 3.58 petang.

Selain Dr Ainul Baroah, empat lagi individu berada dalam helikopter berkenaan, termasuk juruterbang dan tiga kakitangan KKM, termasuk dua jururawat.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan pihak berkuasa bagi mengesan serta mendapatkan kesemua mangsa yang terbabit dalam nahas berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button