BERITA SEMASA

25 anggota tentera Pakistan terbunuh dalam dua serangan pemisah BLA

QUETTA – Kumpulan pemisah Balochistan Liberation Army (BLA) mengaku bertangggungjawab ke atas serangan yang mengorbankan 25 anggota tentera Pakistan dalam dua serangan berasingan di wilayah Balochistan, Pakistan.

Menurut kenyataan jurucakap BLA, Jeeyand Baloch, serangan pertama berlaku berhampiran Ziarat Cross apabila pejuang kumpulan itu menyerang konvoi tentera.

BLA mendakwa empat kenderaan tentera menjadi sasaran dalam serangan berkenaan, dengan dua daripadanya musnah dan 18 anggota tentera terbunuh.

Kumpulan itu turut mendakwa anggotanya merampas senjata daripada anggota tentera yang terbunuh, manakala lima anggota lain yang cedera berjaya melarikan diri dari lokasi kejadian.

balochistan
BLA mengaku bertanggungjawab melakukan dua serangan  mengorbankan 25 anggota tenradi Balochistan, Pakistan.

Dalam serangan berasingan di kawasan Hajika, Surab, BLA mendakwa sebuah kenderaan yang sarat dengan bahan letupan diletupkan dari jarak jauh ketika sebuah kenderaan tentera melalui lokasi sasaran.

Serangan itu, menurut BLA, mengorbankan tujuh anggota tentera dan memusnahkan sebuah kenderaan.

Bagaimanapun, dakwaan mengenai serangan dan angka korban berkenaan belum disahkan oleh pihak berkuasa Pakistan.

BLA merupakan kumpulan pemisah bersenjata yang aktif di Balochistan, wilayah kaya dengan sumber mineral yang berdepan konflik bersenjata berpanjangan antara kumpulan pemisah dan pasukan keselamatan Pakistan.

Keganasan di Balochistan meningkat sejak kebelakangan ini dengan beberapa serangan menyasarkan anggota tentera, polis, konvoi keselamatan dan kemudahan kerajaan.

Pada Julai lalu, tentera Pakistan mengesahkan 11 anggota, termasuk seorang pegawai rendah, terbunuh selepas sebuah konvoi tentera diserang berhampiran Bela-Winder di Balochistan.

Pihak tentera ketika itu mendakwa 14 anggota BLA turut terbunuh dalam pertempuran susulan, namun angka tersebut tidak dapat disahkan secara bebas.

Balochistan turut menjadi lokasi penting bagi projek ekonomi dan tenaga Pakistan, termasuk laluan China-Pakistan Economic Corridor (CPEC) yang menjadikan konflik keselamatan di wilayah itu ancaman terhadap aktiviti ekonomi dan pelaburan kedua negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button