‘Kita Warga Malaysia’ semarak semangat perpaduan sempena Hari Kebangsaan ke-69
KUALA LUMPUR – Semangat perpaduan rakyat Malaysia bakal disemarakkan menerusi pelancaran lagu patriotik baharu berjudul ‘Kita Warga Malaysia’ yang membawa mesej kesatuan dalam kepelbagaian sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69.
Lagu berkenaan menekankan bahawa tanpa mengira kaum, agama, usia atau latar belakang, seluruh rakyat berkongsi satu identiti dan tanah air yang sama sebagai warga Malaysia.
Seiring usaha itu, VYBE diumumkan sebagai Rakan Platform Digital Rasmi bagi inisiatif ‘Kita Warga Malaysia’ sekali gus membantu memperluaskan mesej patriotisme dan perpaduan kepada masyarakat khususnya generasi muda serta komuniti pencipta kandungan digital.
Pengerusi VYBE, Datuk Kamil Othman berkata, muzik dan penceritaan mempunyai keupayaan merentasi batas generasi, kaum dan geografi.
“Lagu ‘Kita Warga Malaysia’ bukan sekadar sebuah lagu patriotik, malah mencerminkan identiti bersama kita sebagai rakyat Malaysia.
“Walau apa pun latar belakang kita, negara ini ialah rumah kita dan masa depannya merupakan tanggungjawab bersama,” katanya dalam kenyataan.
Kamil merupakan antara tokoh yang mempunyai pengalaman luas dalam pembangunan industri perfileman, kandungan digital dan ekonomi kreatif negara.
Beliau pernah berkhidmat sebagai Naib Presiden Strategi dan Dasar Industri Kreatif di Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), selain pernah mengetuai Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) sebagai Ketua Pengarah sebelum dilantik sebagai Pengerusi FINAS pada 2023.
Sementara itu, Pengasas VYBE, Pengasas dan Pengerusi Zocco Group Sdn Bhd serta Pengerusi International Chinese Foundation (ICF), Dr Kervis menyifatkan penglibatan VYBE dalam inisiatif berkenaan sebagai satu penghormatan dan peluang untuk menyumbang kepada usaha memperkukuh perpaduan negara.

Menurutnya, kemerdekaan bukan sekadar meraikan pencapaian generasi terdahulu, sebaliknya perlu diisi dengan usaha menyediakan ruang, keyakinan dan peluang kepada generasi akan datang.
“Sebagai seorang yang aktif mempromosikan pembangunan AI MCN, saya percaya bahawa teknologi hanya benar-benar bernilai apabila ia mampu memperkasakan manusia, membuka peluang dan membawa manfaat kepada masyarakat.
“Melalui kreativiti dan teknologi, kita mahu memperkasakan bakat tempatan, membawa cerita Malaysia ke pentas yang lebih luas dan membuktikan bahawa suara Malaysia mampu mencipta nilai di peringkat antarabangsa.
“Inilah cara kita mengisi erti kemerdekaan iaitu dengan membina sesuatu yang boleh diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, aplikasi VYBE dijadualkan dilancarkan secara rasmi pada 16 September 2026, bersempena sambutan Hari Malaysia.
Pemilihan tarikh berkenaan selaras dengan aspirasi VYBE untuk menghubungkan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang menerusi kreativiti, kandungan dan teknologi digital.
Platform itu menyasarkan untuk menyediakan ruang digital yang menghubungkan pencipta kandungan, penggiat seni, jenama dan masyarakat, selain membantu mengetengahkan lebih banyak karya serta cerita dari Malaysia kepada khalayak lebih luas.
Inisiatif ‘Kita Warga Malaysia’ dilihat membawa mesej yang sama sepanjang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos hingga Hari Malaysia pada 16 September, iaitu satu negara dengan pelbagai suara, namun berkongsi identiti sebagai warga Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



