Liga Malaysia tembusi platform digital global menerusi eFootball
KUALA LUMPUR – Kerjasama strategik antara Malaysian Football League (MFL) dan Konami mencipta detik bersejarah apabila Liga Malaysia kini secara rasmi diperkenalkan dalam platform permainan bola sepak popular, eFootball.
Inisiatif tersebut membuka lembaran baharu dalam usaha membawa bola sepak tempatan ke pentas digital global, sekali gus memperluaskan capaian liga kepada peminat antarabangsa.

Menerusi kerjasama itu, kelab-kelab Liga Malaysia kini menjadi sebahagian daripada ekosistem permainan bola sepak antarabangsa, membolehkan peminat berinteraksi secara langsung dengan pasukan kegemaran mereka dalam dunia maya tanpa batasan stadium atau siaran tradisional.
Pelaksanaan berkenaan hadir seiring pelancaran eFootball versi 5.4 yang menawarkan pengalaman permainan lebih realistik, termasuk jersi rasmi, senarai pemain terkini serta kualiti permainan berketepatan tinggi. Buat pertama kalinya, peminat berpeluang mengemudi pasukan Liga Malaysia dalam platform digital bertaraf global.
Sebanyak 13 kelab ditampilkan dalam inisiatif ini, antaranya Johor Darul Ta’zim FC (JDT), Selangor FC, Terengganu FC, Sabah FC, Kuala Lumpur City FC, Negeri Sembilan FC, PDRM FC, Kuching City FC, Kelantan The Real Warriors FC, Penang FC, Imigresen FC, Melaka FC serta DPMM FC, mencerminkan kepelbagaian dan kekuatan liga domestik.
Selain itu, penyediaan pelayan (server) khas Malaysia dijangka meningkatkan pengalaman permainan dalam talian yang lebih lancar dan kompetitif, selari dengan perkembangan pesat komuniti eFootball di negara ini.
Dalam masa sama, kerjasama tersebut turut memperkukuh pembangunan ekosistem sukan elektronik tempatan melalui penganjuran eFootball Championship 2026 Malaysia Cup yang dijangka menarik penyertaan meluas.
Presiden MFL, Ab Ghani Hassan berkata, kolaborasi berkenaan bukan sahaja memperluaskan jenama Liga Malaysia ke peringkat antarabangsa, malah menjadi platform penting dalam menarik minat generasi muda yang semakin cenderung kepada dunia digital.
“Langkah ini selaras dengan usaha memastikan bola sepak tempatan terus berkembang dan kekal relevan dalam landskap sukan moden,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Majlis pelancaran itu turut dihadiri barisan kepimpinan MFL dan Konami termasuk Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd serta wakil kanan Konami Digital Entertainment dan tokoh esports tempatan, selain kehadiran legenda bola sepak negara, Safee Sali sebagai duta eFootball Malaysia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








