Hospital MARA untuk semua, bukan pilih pesakit ikut kaum – Asyraf Wajdi
KUALA LUMPUR – Hospital Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang dicadangkan adalah untuk semua dan tidak akan memilih pesakit berdasarkan kaum, kata Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Asyraf Wajdi berkata, cadangan penubuhan hospital berkenaan tidak sewajarnya dikaitkan dengan sentimen perkauman, sebaliknya bertujuan melengkapkan ekosistem pendidikan, keusahawanan dan kesihatan MARA.
“MARA ketika ini mempunyai Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Royal College of Medicine Perak (RCMP) di Ipoh yang menawarkan program kedoktoran, namun belum mempunyai hospital sendiri sebagai pusat latihan pelajar.
“Sudah menjadi perkara biasa bagi mana-mana universiti yang menawarkan program kedoktoran untuk mempunyai hospital sebagai tempat latihan doktor. Jadi, ia bukan sesuatu yang luar biasa.
“Hospital ini untuk semua. Kita tidak akan memilih pesakit dan daripada sudut etika profesionalisme doktor, tidak boleh memilih pesakit berdasarkan kaum,” katanya dalam sidang media Perhimpunan Agung UMNO 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas mengenai ada pihak yang mengaitkan cadangan penubuhan Hospital MARA dengan sentimen perkauman serta mempersoalkan sejauh mana fasiliti berkenaan akan memberi manfaat secara inklusif.
Baca juga : Cadangan Hospital MARA diteruskan, pasukan khas dibentuk – Asyraf Wajdis
Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, cadangan itu masih di peringkat penilaian dan kajian dengan MARA sudah menubuhkan pasukan khas diketuai Timbalan Ketua Pengarah MARA bagi meneliti keseluruhan aspek berkaitan.
Beliau berkata, MARA melahirkan puluhan ribu doktor, jururawat dan pakar dalam pelbagai bidang, selain memiliki ekosistem lengkap pendidikan yang menawarkan program perubatan, kejururawatan, bioperubatan dan teknologi kesihatan.
Katanya, ekosistem kesihatan MARA turut merangkumi rangkaian UNI Klinik, UNI Farmasi dan UNI Dental yang kini mempunyai kira-kira 160 cawangan dan dijangka meningkat kepada 200 menjelang penghujung tahun ini.
“Ini semua baru untuk menilai dan mengkaji. Belum lagi kita bercakap soal pelaksanaan tetapi orang sudah menimbulkan pelbagai persepsi.
“Saya harap penjelasan ini dapat memberi pencerahan kepada semua bahawa cadangan ini tidak ada kaitan dengan perkauman,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








