Wanita Ikon Wilayah Persekutuan bantu banduan bina hidup baharu
KUALA LUMPUR – Memberi peluang kedua kepada banduan untuk membina kehidupan baharu menjadi antara usaha yang diperjuangkan Wanita Ikon Wilayah Persekutuan, Che’ Puan Intan Safinaz Redzuan Ranjit menerusi pendedahan kemahiran penjagaan warga emas kepada banduan wanita di Penjara Kajang.
Inisiatif yang digerakkan sejak lima tahun lalu itu bertujuan membantu golongan berkenaan memperoleh kemahiran yang boleh dimanfaatkan sebagai kerjaya serta sumber pendapatan selepas dibebaskan.
Pengerusi Agecope Wilayah Persekutuan itu berkata, latihan berkenaan dilihat relevan dengan keperluan semasa memandangkan Malaysia kini menuju ke arah negara menua.
“Malaysia kini menuju ke arah negara menua, justeru saya cuba memberikan latihan yang relevan dengan keperluan semasa kepada wanita dan golongan rentan, termasuk banduan.
“Sehingga kini, lebih 300 orang sudah dilatih dan besar harapan saya agar mereka dapat menjalani proses pemulihan dengan bermaruah, memperoleh pekerjaan serta tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Wanita Ikon Negeri 2026/2027, baru-baru ini.
Tambah beliau yang juga Pengarah Laman Khaira Care Centre, kemahiran penjagaan warga emas bukan sahaja berguna untuk mendapatkan pekerjaan, malah boleh diaplikasikan dalam kehidupan seharian.

Katanya, kemahiran itu amat berguna apabila mereka berdepan situasi ahli keluarga seperti ibu bapa uzur atau adik-beradik yang mengalami masalah kesihatan.
“Menariknya, dengan kemahiran ini, banduan wanita masih boleh berbakti kepada keluarga sambil menjana pendapatan.
“Mereka boleh menawarkan khidmat penjagaan secara sambilan mengikut kelapangan masing-masing tanpa terikat dengan pekerjaan tetap.
“Apatah lagi, bidang ini memang ada permintaan tinggi dan boleh dijadikan sumber pendapatan kepada mereka yang menceburinya,” katanya memetik laporan Utusan Online.
Menurut Intan Safinaz, antara kejayaan yang membanggakan ialah kisah seorang banduan wanita berusia 50 tahun yang sebelum ini hidup sebagai gelandangan di Chow Kit.
Katanya, selepas 25 kali keluar masuk penjara, wanita berkenaan kini mempunyai hala tuju baharu selepas memilih untuk menceburi bidang penjagaan.
Sementara itu, Wanita Ikon Sarawak, Cef Imelda Harris menggunakan pengalaman dalam bidang masakan untuk membantu wanita daripada golongan memerlukan membina sumber pendapatan sendiri.
Beliau berkata, antara golongan yang dibantu termasuk mangsa keganasan rumah tangga yang kehilangan sumber pendapatan dan berdepan kesukaran meneruskan kehidupan.
Usaha itu digerakkan bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mencungkil bakat memasak dan keusahawanan dalam kalangan peserta.
“Memasak bukan sekadar mengenyangkan perut, malah bagi sesetengah individu, ia boleh menjadi sumber rezeki.
“Kita pernah membantu seorang wanita yang pandai membuat kuih sehingga dia berjaya mengembangkan perniagaan dan kini memiliki dua kedai serta empat pekerja.
“Kisah-kisah seperti ini membuka mata saya yang makanan juga boleh menjadi satu bahasa universal untuk mengubah kehidupan seseorang ke arah lebih baik,” katanya.
Selain kemahiran memasak, Imelda turut membimbing peserta mengenai asas keusahawanan supaya mereka boleh memulakan perniagaan dari rumah tanpa memerlukan modal besar.
Katanya, peserta turut diajar menggunakan bahan alternatif yang lebih murah, antaranya menggantikan mentega dengan minyak dalam pembuatan biskut raya bagi mengurangkan kos pengeluaran.
“Bila bahan-bahannya murah, mereka boleh menjual biskut itu pada harga berpatutan dan mampu milik.
“Dengan cara ini, produk lebih mudah dipasarkan, sekali gus mengurangkan risiko kerugian dan memberi pulangan kepada mereka,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Wanita Ikon Terengganu, Dr Raihana Ismail pula giat membangunkan aplikasi khas bagi membantu wanita memahami serta memantau kesihatan diri dengan lebih mudah.
Menurutnya, aplikasi berkenaan dirancang sebagai platform yang menghimpunkan komuniti wanita selain menyediakan maklumat berkaitan kesihatan.
“Wanita melalui pelbagai perubahan hormon dan keadaan itu boleh mempengaruhi tubuh serta emosi pada setiap fasa kitaran haid.
“Jadi, penting untuk mereka memahami perubahan yang berlaku pada diri, termasuk mengetahui waktu subur dan perkara berkaitan perancangan kehamilan,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








