Diuji dengan cacian, Mufti WP kekal istiqamah demi ummah
KUALA LUMPUR – Dicaci dan dikritik tidak pernah menjadi alasan untuk mengalah.
Sebaliknya, Mufti Wilayah Persekutuan, Fauwaz Fadzil menjadikan segala kecaman yang diterima sebagai sumber kekuatan untuk terus berkhidmat kepada ummah.
Beliau mengakui sepanjang memegang amanah (jawatan) tersebut, pelbagai tohmahan dan kritikan diterima daripada pelbagai pihak, namun semua itu tidak pernah melemahkan semangatnya malah membuka ruang untuk memahami keadaan emosi dan mental segelintir masyarakat yang disifatkan kian membimbangkan.
Menurutnya, didikan daripada al-Quran menjadi panduan untuk beliau terus bersikap pemaaf, walaupun terhadap individu yang tidak pernah memohon maaf kepadanya.
“Musuh saya adalah mereka yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya.
“Saya sentiasa ‘sedekahkan’ segala cercaan pelbagai pihak kepada saya walaupun orang pernah dekat dengan saya kerana ia adalah asam garam di dalam menerangkan kebenaran ilmu,” katanya menerusi hantaran di Facebook baru-baru ini.
Tambah beliau, segala pengalaman tersebut turut menjadi pemangkin untuk mempergiatkan usaha membaca dan menulis agar ilmu dapat disampaikan dengan lebih meluas kepada masyarakat.
Beliau dalam masa sama mengajak orang ramai untuk memilih jalan memaafkan demi kebaikan bersama.
“Sentiasa terus bekerja untuk umat dan negara agar mendapat pahala yang besar di sisi Allah Taala dan dapat bersama dengan Baginda Nabi SAW di sana. Jom maafkan orang,” tulisnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








