BERITA SEMASA

Caj tukar duit raya haram jika libat tambahan nilai – Mufti WP

KUALA LUMPUR – Perkhidmatan tukar duit raya yang semakin popular menjelang Hari Raya Aidilfitri boleh menjurus kepada amalan riba sekiranya dikenakan caj tidak menepati syarak.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam penjelasan Irsyad al-Hukum Siri ke-950 menegaskan, hukum mengenakan caj bagi pertukaran duit raya adalah haram jika melibatkan pertukaran wang dengan tambahan nilai.

Menurutnya, keadaan itu berlaku apabila seseorang menukar wang dalam jumlah tertentu sebelum menawarkan pertukaran semula kepada pihak lain dengan caj tambahan, yang dikategorikan sebagai riba.

“Sebagai contoh, jika seseorang memberikan RM100 untuk ditukar kepada wang pecahan tetapi hanya menerima wang tersebut pada hari berikutnya, transaksi itu tidak sah kerana tergolong dalam riba al-nasi’ah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, pertukaran wang juga perlu dilakukan secara serta-merta dalam satu majlis tanpa sebarang penangguhan bagi mengelakkan unsur riba.

Bagaimanapun, caj perkhidmatan dibenarkan sekiranya individu hanya bertindak sebagai wakil untuk mendapatkan wang pecahan daripada pihak ketiga, dengan syarat kadar caj jelas dan dipersetujui bersama.

“Dalam situasi ini, bayaran dikenakan adalah atas khidmat yang diberikan, bukan pertukaran wang dengan tambahan nilai,” katanya lagi.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika menggunakan perkhidmatan tukar duit raya bagi mengelakkan terlibat dengan amalan riba yang ditegah dalam Islam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button