Dakwaan salah laku kes rotan pelajar tahfiz perlu ditangani ikut lunas perundangan – Mufti WP
KUALA LUMPUR – Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil menegaskan kes rotan pelajar tahfiz wajar ditangani mengikut lunas undang-undang demi menegakkan hak dan keadilan.
Menurut beliau, pendekatan itu menekankan dimensi pendidikan berhikmah selaras dengan contoh Rasulullah SAW yang tidak pernah memaki atau memukul sesiapa.
“Tindakan tegas terhadap sebarang salah laku adalah bagi memastikan keselamatan, kesejahteraan dan pembinaan sahsiah anak-anak di bawah jagaan institusi pendidikan agama sentiasa terpelihara,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau semalam.
Pada masa sama, beliau turut menyokong penuh ketegasan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan
yang tidak berkompromi dalam memastikan kes rotan itu dijalankan secara menyeluruh, adil dan telus.
Kelmarin, Zulkifli memberi amaran bahawa tiada kompromi terhadap sebarang salah laku melibatkan pelajar, namun setiap siasatan perlu dijalankan secara telus dan berasaskan fakta.
Menurut beliau, kerajaan komited untuk memastikan sistem undang-undang dapat melindungi kebajikan pelajar dan pada masa yang sama memperkukuh aspek pendidikan, tarbiah dan pembinaan kerohanian bagi mengelakkan kejadian sama daripada berulang.
Terdahulu, tular di laman media sosial satu video berdurasi 48 saat yang memaparkan seorang murid lelaki yang dilihat sedang menahan kesakitan ketika dirotan oleh seorang lelaki di dalam bilik asrama di hadapan rakan-rakannya yang lain.
Polis kemudiannya mengesahkan kejadian itu berlaku di sebuah maahad tahfiz di Sungai Kob, dekat Kulim, Kedah pada September lepas melibatkan seorang murid lelaki berusia 11 tahun.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















