Kajian cadangan pilihan raya PBT dalam proses pelaksanaan
PUTRAJAYA – Kajian mengenai cadangan pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur kini dalam proses pelaksanaan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh, sebarang keputusan mengenainya hanya akan dibuat setelah kerajaan menerima laporan lengkap.
“Pada peringkat ini, ia hanyalah kajian. Selepas kita menerima dapatan kajian sama ada boleh atau tidak dilaksanakan, barulah kertas Kabinet akan disediakan untuk memaklumkan kepada Kabinet sama ada perlu meminda Akta Ibu Kota Persekutuan atau sebaliknya.
“Pada masa ini, adalah terlalu awal untuk memberi sebarang komen kerana proses kajian masih berjalan,” katanya.
Hannah berkata demikian selepas hadir pada Majlis Pemeteraian Nota Kerjasama antara Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud.
Hannah seterusnya menjelaskan, kajian sedemikian bukan sesuatu yang baharu dan telah bermula sejak Disember lalu semasa pentadbiran Menteri Wilayah sebelum ini.
“Kajian ini dibuat kerana terdapat Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian yang telah dikemukakan oleh seorang Ahli Parlimen dalam sidang Parlimen lalu.
“Saya ingin tegaskan, kajian ini bukan dilakukan oleh orang DAP, sebaliknya oleh ahli akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM),” katanya.
Laporan media sebelum ini menyebut, satu kajian bagi meneliti pelaksanaan pilihan raya PBT di ibu kota, termasuk mekanisme pemilihan Datuk Bandar Kuala Lumpur sedang dilaksanakan.
Kajian itu dimulakan sejak Disember lalu susulan pembentangan RUU Persendirian oleh Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan pada November 2025, bertujuan meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 bagi melaksanakan reformasi tadbir urus Kuala Lumpur.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








