BERITA SEMASA

Lebih 100,000 hadir sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Putrajaya

PUTRAJAYA – Lebih 100,000 pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya hari ini bagi memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan 2026 yang berlangsung dalam suasana penuh semangat patriotik dan cinta akan negara.

Menurut Jabatan Penerangan dalam satu kenyataan, bertemakan “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, sambutan tahun ini menzahirkan komitmen berterusan kerajaan dalam membina sebuah negara maju, harmoni dan sejahtera tanpa mengira latar belakang masyarakat.

“Acara perbarisan dan perarakan membabitkan 76 kontinjen, 22 kumpulan pancaragam dan 11 kereta berhias, dengan penyertaan seramai 10,819 peserta.

“Peserta terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, pasukan keselamatan, badan beruniform, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi serta wakil masyarakat sivil.

“Buat julung kalinya, sambutan turut disertai Askar Timbalan Setia Negeri Johor, kontinjen Sukan SEA 2027 dan kontinjen kluster Kelestarian Ekonomi Jingga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, sambutan turut diserikan dengan persembahan pergendangan “Gema Inovasi MADANI”, yang menggabungkan Rebana Inovasi dan Kompang Inovasi bersama pelbagai alat muzik tradisional yang mewakili komuniti serta wilayah di Malaysia.

Ujarnya, persembahan berkenaan membabitkan 150 peserta pergendangan dan 1,500 peserta grafik manusia, sekali gus menggambarkan kepelbagaian warisan seni dan budaya negara.

“Acara turut dimeriahkan dengan persembahan skuadron pesawat pejuang, pengangkut dan helikopter oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM),” katanya.

Sementara itu katanya, persembahan penutupan “Rentak MADANI, Paluan Tradisi” menghimpunkan 2,350 peserta terdiri daripada Kumpulan Kesenian Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), PERMATA Seni Tari, pelajar Kementerian Pendidikan (KPM), agensi dan jabatan kerajaan, syarikat seni serta badan bukan kerajaan (NGO) seni dan budaya.

“Penyanyi terkenal tanah air, Faizal Tahir, turut membuat persembahan dengan menyampaikan lagu tema rasmi HKHM 2026, “Aku Berjanji”.

“Sambutan tahun ini turut diserikan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, selain kehadiran Perdana Menteri bersama isteri, Timbalan-Timbalan Perdana Menteri, barisan Menteri Kabinet serta Duta dan Konsul Asing di Malaysia,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button