Bakar al-Quran, Malaysia sedia sejuta naskhah untuk dunia – PM
GEORGE TOWN – Kerajaan Malaysia akan terus memperluas usaha mencetak dan mengedarkan al-Quran sebagai respons terhadap tindakan pihak yang menghina serta membakar kitab suci umat Islam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia perlu mengambil peluang untuk menjadikan mushaf sebagai antara sumbangan penting negara kepada masyarakat Islam, termasuk di peringkat antarabangsa.
“Bayangkan dibakar al-Quran oleh orang-orang yang benci dan jahil terhadap Islam. Jadi saya kata, tak boleh jadi macam ini.
“Kalau dia bakar satu al-Quran, kita kerajaan Malaysia akan bantu sediakan sejuta al-Quran untuk rakyat Malaysia, untuk rantau ini dan untuk Barat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tadabur Mushaf MADANI dan Perasmian Ma’idah Wanita MADANI Peringkat Nasional di Masjid Al-Muhajirin, Seberang Jaya, di sini hari ini.
Beliau berkata, usaha berkenaan bukan sekadar mencetak al-Quran dalam bahasa Arab, sebaliknya turut menyediakan terjemahan dalam bahasa tempatan bagi memastikan masyarakat Islam di negara terbabit memahami kandungan kitab suci itu.
Katanya, setakat ini al-Quran terjemahan telah diedarkan ke pelbagai negara termasuk Sweden, Amerika Syarikat, Perancis, Brazil, Vietnam, Kemboja dan Thailand.
“Saya pergi ke Brazil, saya bawa dalam bahasa Portugis. Saya pergi ke Vietnam, dalam bahasa Vietnam, pergi ke Kemboja, bahasa Kemboja. Pergi ke Thailand dalam terjemahan bahasa Thailand,” katanya.
Anwar berkata, pendekatan itu penting kerana terdapat masyarakat Islam yang mampu membaca al-Quran tetapi tidak memahami maknanya, terutama apabila terjemahan hanya diberikan dalam bahasa yang tidak dikuasai mereka.
“Orang di Kemboja itu ada yang boleh baca al-Quran, tapi dia tidak tahu makna. Jadi makna terjemahan bagi dalam bahasa Inggeris, dia tidak faham. Bahasa Arab tak faham, kita bagi dalam bahasa dia,” katanya.
Menurutnya, usaha penerbitan dan pengedaran al-Quran di bawah Yayasan Restu kini sudah melibatkan sekitar 30 bahasa, manakala terdapat cadangan untuk menambah lagi 30 bahasa secara berperingkat.
Beliau berkata, usaha tersebut merupakan bentuk dakwah melalui tindakan atau dakwah bil hal, iaitu menyampaikan mesej Islam menerusi program dan sumbangan yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Anwar turut berseloroh mengenai keperluan memastikan peruntukan mencukupi sebelum sesuatu rancangan penerbitan dilaksanakan.
“Perlahan-lahanlah. Bagi duit cukup dulu. Dia ni (Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Datuk Dr Abdul Latiff Mirasa) okey. Orang Penang, dia nak buat dulu, minta duit kemudian. Saya cakap tak boleh, kena minta duit dulu, ada baru kita buat,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








