Ribuan turun ke jalanan desak kerajaan perangi rasuah di Jakarta
JAKARTA – Ribuan penunjuk perasaan mengadakan demonstrasi di hadapan kompleks Parlimen Indonesia di Senayan, semalam bagi mendesak kerajaan memperkukuh usaha membanteras rasuah selain melaksanakan pembaharuan politik dan sosial.
Demonstrasi yang bermula kira-kira pukul 2 petang itu disertai kira-kira 1,000 anggota Gerakan Rakyat Menggugat (GERAM), terdiri daripada mahasiswa dan kumpulan masyarakat sivil dari Jakarta serta beberapa wilayah lain.
Mereka membawa pelbagai sepanduk termasuk mesej mendesak kerajaan merampas aset milik pesalah rasuah dan menegaskan negara tidak seharusnya tunduk kepada golongan berkenaan.
GERAM mengemukakan 10 tuntutan, antaranya meminta Presiden Prabowo Subianto dan Naib Presiden, Gibran Rakabuming Raka, dipertanggungjawabkan terhadap dasar yang didakwa memperluas peranan tentera, melemahkan demokrasi serta meningkatkan ketidaksamaan ekonomi.
Kumpulan itu turut menggesa kerajaan menilai semula dan menghentikan program makanan percuma serta program koperasi desa Merah Putih yang didakwa tidak dilaksanakan dengan baik.
“Antara tuntutan lain termasuk perubahan dasar percukaian yang dianggap membebankan rakyat dihentikan, gaji pekerja dinaikkan dan aset yang diperoleh menerusi kegiatan rasuah dirampas kerajaan.
“Demonstrasi pada mulanya berlangsung secara aman sebelum keadaan menjadi tegang apabila sebahagian peserta memanjat pagar kompleks Parlimen,” lapor agensi berita antarabangsa.
Menjelang pukul 7 malam waktu tempatan, polis melepaskan pancutan air menggunakan meriam air selepas sekumpulan penunjuk perasaan cuba menolak pagar untuk memasuki kawasan kompleks.
Anggota keselamatan yang lengkap dengan peralatan perlindungan kemudian bergerak keluar dari kawasan Parlimen, menyebabkan penunjuk perasaan bersurai.
Dalam perkembangan berasingan, satu lagi kumpulan dari Jawa Tengah, United Pati Community Alliance (AMPB), turut mengadakan demonstrasi di Jakarta pada hari sama.
Kumpulan itu mengemukakan dua tuntutan utama iaitu supaya Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang Perampasan Aset serta mengenakan hukuman mati terhadap pesalah rasuah.
RUU Perampasan Aset bertujuan membolehkan kerajaan mengesan, menyekat, merampas dan melucutkan aset yang dikaitkan dengan jenayah ekonomi serta rasuah tanpa perlu menunggu sabitan kesalahan jenayah terlebih dahulu.
Rang undang-undang itu kini dalam proses perbahasan di Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), yang menyasarkan kelulusan menjelang Disember ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








