Indonesia tingkat langkah keselamatan, pelihara ketenteraman awam
JAKARTA – Kawalan keselamatan di seluruh Indonesia diketatkan apabila anggota tentera dan polis dikerah melakukan rondaan sejak semalam bagi memelihara ketenteraman awam terutamanya di beberapa kawasan panas.
Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Dedi Prasetyo, anggota polis di setiap wilayah dan daerah diarah melaksanakan rondaan berskala besar bersama pihak tentera sehingga ke peringkat kejiranan, lapor BERNAMA.
“Tujuannya jelas iaitu bagi menjamin keselamatan masyarakat daripada perusuh dan anasir anarkis.
“Kami hadir untuk melindungi setiap nyawa, harta benda dan kemudahan awam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Langkah itu diambil selepas beberapa insiden kerosakan pada bangunan legislatif, premis polis dan kemudahan awam, selain kediaman ahli parlimen dan menteri yang turut menjadi sasaran.
Dalam kenyataan sama, Dedi turut berkata, tahap keselamatan premis polis akan dipertingkatkan bagi mengelakkan pencerobohan serta melindungi keluarga, tahanan dan bahan berbahaya di dalamnya.
Masyarakat juga diminta bekerjasama menjaga kawasan masing-masing dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan, sekali gus membantu memutuskan rantaian jenayah serta mewujudkan suasana selamat.
Mengulas liputan meluas di pelbagai platform media termasuk media sosial, beliau menasihati orang ramai supaya kekal tenang dan tidak terpengaruh dengan hasutan atau berita palsu yang boleh mencetuskan panik.
Beliau turut memberi jaminan pasukan keselamatan akan bertindak “profesional, bertimbang rasa dan mengikut prosedur undang-undang serta tetap menjunjung tinggi hak asasi manusia.”
Sejak Isnin lepas, ibu kota Indonesia dan beberapa bandar utama mengalami siri demonstrasi apabila pelbagai lapisan masyarakat turun ke jalan menyuarakan tuntutan politik dan ekonomi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








