BERITA SEMASA

24 warga asing ditahan dalam Ops Gasak di Setiawangsa

KUALA LUMPUR – Seramai 24 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia Kuala Lumpur (JIMKL) dalam operasi bersepadu (Ops Gasak) di sekitar Parlimen Setiawangsa, kelmarin.

Operasi yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu turut disertai Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan JIMKL, dengan sasaran utama peniaga yang menggajikan warga asing serta premis yang dikendalikan warga asing.

DBKL dalam kenyataan menerusi Facebook berkata, sebanyak 19 notis tawaran kompaun dikeluarkan terhadap pemilik premis mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976, Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 serta UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.

“Selain itu, sembilan tindakan penutupan premis di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 serta dua tindakan sitaan di bawah akta sama turut dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, SSM mengeluarkan sembilan notis di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan Kaedah-Kaedah Pendaftaran Perniagaan 1957.

JIMKL pula melakukan pemeriksaan terhadap 31 individu sebelum menahan 24 warga asing yang disyaki melakukan kesalahan imigresen, selain mengeluarkan dua amaran keras.

DBKL berkata, operasi bersepadu seumpama itu akan terus dipergiatkan sebagai komitmen pihaknya bersama agensi kerajaan dalam memastikan aktiviti perniagaan dijalankan mengikut undang-undang.

“Langkah ini turut bertujuan menangani isu pekerja asing tanpa dokumen yang sah. DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button