JENAYAH & MAHKAMAH

Saravanan tidak mengaku salah terima rasuah RM1.09 juta

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini, atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM1.09 juta berkaitan kelulusan kuota pekerja asing, empat tahun lalu.

Saravanan, 58, yang juga Timbalan Presiden MIC membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

“Tidak mengaku bersalah,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Saravanan didakwa secara rasuah menerima wang tunai masing-masing RM150,000 dan RM350,000 daripada Pengarah Vectica Resources Sdn Bhd, Tan Teck Lim, 65.

Bagi pertuduhan ketiga, beliau didakwa menerima wang RM597,000 daripada individu sama menerusi sekeping cek bank yang didepositkan ke dalam akaun Big Seven Ventures Sdn Bhd.

Kesemua suapan itu didakwa diterima melalui seorang individu sebagai dorongan dan upah kepada Saravanan, ketika menjawat jawatan Menteri Sumber Manusia, bagi memberikan kelulusan permohonan 1,000 kuota pekerja asing untuk TYKB Engineering Sdn Bhd.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bukit Jalil Golf & Country Resorts, Jalan Telawi, Bangsar dan sebuah cawangan bank di Jalan Klang Lama di sini pada 16 Jun dan 7 Julai 2022.

BACA JUGA:
Saravanan tiba di mahkamah, berdepan pertuduhan bawah Akta SPRM

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Ahmad Akram Gharib, manakala Saravanan diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent.

Semalam, Saravanan mengesahkan beliau bakal didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung isu pengambilan pekerja asing ketika tempoh pandemik COVID-19 pada 2022.

Ahli Parlimen Tapah itu sebelum ini mendakwa pertuduhan berkenaan berpunca daripada kenyataan pihak ketiga yang mengaitkannya dengan isu terbabit.

Beliau turut mendakwa kenyataan awal yang mengaitkan namanya dibuat seorang individu yang meninggal dunia dua bulan selepas membuat Akuan Berkanun bagi menarik balik dakwaan berkenaan.

“Saya tegaskan bahawa saya tidak pernah berhubung atau mengenali individu berkenaan sama ada menerusi telefon mahupun perkhidmatan pesanan ringkas.

“Walaupun saksi utama telah meninggal dunia, saya tetap bersedia untuk mempertahankan diri dan menghadapi pertuduhan ini mengikut lunas undang-undang,” katanya menerusi hantaran video yang dikongsikan kepada media.

Saravanan turut berkata pasukan peguamnya akan memohon kepada mahkamah supaya perbicaraan kes itu dipercepatkan tanpa sebarang penangguhan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button