BERITA SEMASA

Fadhlina santuni peserta ‘Human Graphic’, belanja ais krim sempena Hari Kebangsaan

PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek sempat meluangkan masa menyantuni peserta persembahan ‘Human Graphic’ yang giat menjalani latihan bagi menjayakan sambutan Hari Kebangsaan 2026.

Fadhlina berkata, persembahan berkenaan antara acara yang dinanti-nantikan setiap kali tibanya sambutan Hari Kebangsaan, dengan persiapan rapi dilakukan peserta bagi memastikan setiap pergerakan dan formasi dipersembahkan dengan sempurna.

Beliau berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Facebook selepas bertemu peserta berkenaan tengah hari tadi.

“Penat pasti ada, tetapi semangat masing-masing cukup luar biasa. Sempat juga saya belanja ais krim untuk semua,” katanya.

Menurut Fadhlina, di sebalik persembahan ‘Human Graphic’ yang menarik perhatian setiap tahun, terdapat anak-anak yang berlatih berhari-hari, menghafal setiap pergerakan dan menyusun formasi sebagai persediaan menghadapi detik penting itu.

Katanya, bagi sebahagian peserta, penyertaan dalam sambutan Hari Kebangsaan 2026 mungkin menjadi pengalaman pertama dan satu-satunya peluang mereka berada di pentas berkenaan.

“Sebab itu saya pesan kepada mereka, nikmati setiap detik.

“Kerana bertahun-tahun dari sekarang, apabila mereka melihat semula rakaman sambutan Hari Kebangsaan 2026, mereka boleh berkata dengan bangga: ‘Saya pernah berada di situ. Saya pernah menjadi sebahagian daripada detik itu’,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada peserta, barisan kejurulatihan dan guru yang bekerja keras di belakang tabir bagi memastikan persembahan berkenaan dapat direalisasikan.

Fadhlina turut menitipkan pesanan kepada peserta supaya memberikan persembahan terbaik dan membanggakan keluarga serta sekolah masing-masing.

“Pada Hari Kebangsaan nanti, jutaan rakyat Malaysia akan menyaksikan persembahan kalian.

“Buat ibu bapa kalian bangga. Buat sekolah kalian bangga. Dan paling penting, buatlah Malaysia bangga. Kami semua akan menonton dan bersorak untuk kalian,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button