JENAYAH & MAHKAMAH

SPRM reman bekas pengurusan kanan TH, bekas KSU Perbendaharaan bersabit isu RCI Tabung Haji

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mereman seorang bekas pengurusan kanan tertinggi Tabung Haji (TH) dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan bersabit isu RCI TH.

Perintah reman selama tujuh hari sehingga 2 September 2026 terhadap kedua-dua suspek itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50 dan 60-an itu ditahan kira-kira pukul 4 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Dalam pada itu, SPRM telah mendapat kebenaran untuk menyambung reman seorang lagi bekas pengurusan kanan tertinggi TH yang disyaki terlibat dalam penyelewengan wang pelaburan dan saham dari Lembaga Tabung Haji (LTH) bernilai kira-kira RM190 juta.

Perintah reman selama empat hari sehingga 31 Ogos 2026 terhadap suspek dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi sebaik tempoh reman asal terhadap suspek tamat, hari ini.

Sebelum ini suspek lelaki berusia lingkungan 60-an tersebut direman selama tujuh hari sejak Jumaat lalu.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman ketika dihubungi mengesahkan penahanan ketiga-tiga suspek tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button