Penyertaan sulung JMF antara kelainan sambutan Hari Kebangsaan 2026
PUTRAJAYA – Penyertaan sulung Johor Military Force (JMF) dengan kekuatan 100 anggota antara kelainan yang diketengahkan pada sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, 31 Ogos ini.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata JMF akan turut serta bersama aset dan pasukan lain pada sambutan berkenaan, sekali gus menambah kepelbagaian dalam perarakan tahun ini.
“Jadi mereka akan turut serta dengan aset-aset dan pasukan seramai 100 orang. Jadi ini salah satu daripada kelainan pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi penyerahan sumbangan penajaan oleh rakan strategik kepada peserta Human Graphics sambutan Hari Kebangsaan 2026 di Dataran Putrajaya, hari ini.
Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata, pengunjung turut berpeluang melihat lebih dekat aset ketenteraan dan kepolisan yang dipamerkan secara statik pada sambutan tahun ini di Dataran Flora (Monumen).
Katanya, pendekatan itu berbeza berbanding tahun-tahun sebelumnya apabila pengunjung perlu menunggu di tepi jalan untuk melihat, menyentuh atau menaiki aset berkenaan.
“Yang berbeza berbanding tahun-tahun lalu, ada lokasi yang mana aset-aset ini diletakkan sepanjang masa jadi bagi pengunjung mereka boleh datang menikmati melihat sendiri pada jarak dekat aset-aset ketenteraan, kepolisian dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata, sokongan penaja terhadap sambutan Hari Kebangsaan tahun ini turut meningkat dengan jumlah penaja mencecah 139 pihak.
Katanya, jumlah sumbangan yang dikumpulkan meningkat 118 peratus berbanding tahun lalu.
“Banyak daripada sumbangan ini bukan hanya untuk para peserta Human Graphic tapi juga untuk orang ramai yang datang sama ada dalam bentuk makanan, produk-produk ini yang akan diedah diagihkan pada 31 hari bulan Ogos awal pagi,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








