BERITA SEMASA

Kerajaan Perlis diminta perincikan rundingan sebelum kuil di Kangar dirobohkan

KANGAR – Kerajaan Negeri Perlis diminta memperincikan rundingan dan libat urus yang dilakukan sebelum Kuil Veeramakaliamman di Kangar dirobohkan pada 20 Ogos lalu.

Ahli Parlimen Klang, Ganabatirau Veraman berkata, penjelasan itu penting susulan kenyataan Exco Kerajaan Negeri Perlis, Izizam Ibrahim bahawa beberapa siri rundingan telah diadakan bersama pihak pengurusan kuil sebelum tindakan perobohan dilakukan.

Menurutnya, beliau tidak bersetuju sekiranya pembinaan rumah ibadat di atas tanah milik pihak lain tanpa kelulusan sewajarnya dipertahankan.

” Bagaimanapun, prinsip kedaulatan undang-undang perlu dilaksanakan secara adil, konsisten dan tanpa diskriminasi.

“Jika beberapa rundingan benar-benar telah diadakan, kerajaan negeri perlu menjelaskan siapa yang terlibat, apakah penyelesaian yang dicadangkan, sama ada penempatan semula ditawarkan dan apakah tanah alternatif telah dikenal pasti.

“Kerajaan negeri juga perlu menjelaskan mengapa rundingan gagal serta sama ada semua ruang penyelesaian secara baik benar-benar telah digunakan,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook semalam.

Ganabatirau berkata, persoalan utama ialah mengapa perobohan rumah ibadat berkenaan perlu dilakukan pada ketika itu sekiranya penyelesaian secara rundingan masih boleh dicapai.

Beliau berkata, isu membabitkan kuil tidak seharusnya dilihat sebagai tindakan penguatkuasaan biasa kerana ia turut menyentuh soal agama, sejarah, warisan dan sentimen komuniti.

Menurutnya, banyak kuil, sekolah dan kediaman masyarakat Hindu di negara ini telah wujud sejak puluhan tahun lalu, termasuk di kawasan bekas estet dan tanah yang mempunyai latar belakang sejarah tersendiri.

“Selama beberapa dekad, masyarakat minoriti berulang kali mencari penyelesaian yang praktikal terhadap isu tanah seperti ini, namun usaha menyelesaikannya secara menyeluruh masih belum mencukupi.

“Saya tidak mengatakan satu kesalahan boleh menghalalkan kesalahan lain. Saya mengatakan keadilan tidak boleh dilaksanakan secara terpilih,” katanya lagi.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan pernah mencari penyelesaian bagi isu tanah kompleks yang melibatkan kumpulan lain, kerajaan juga perlu mempunyai kemahuan politik untuk mencari penyelesaian sah dan berperikemanusiaan terhadap kuil, sekolah serta institusi masyarakat Hindu yang telah lama wujud.

Ganabatirau turut menegaskan perkara itu bukan berkaitan permintaan layanan istimewa, sebaliknya tuntutan supaya semua komuniti diberikan layanan yang sama rata.

“Jika Malaysia benar-benar menjunjung kedaulatan undang-undang, maka undang-undang juga mesti memberikan perlindungan yang sama kepada semua.

“Kedaulatan undang-undang mesti melindungi semua rakyat dan bukan menjadi slogan yang digunakan secara selektif,” katanya lagi.

Beliau turut menyokong kenyataan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berhubung isu perobohan kuil berkenaan yang menurutnya telah menimbulkan keresahan khususnya dalam kalangan masyarakat Hindu.

Ganabatirau turut berkata, Kerajaan Negeri Perlis tidak seharusnya mempunyai masalah untuk mendedahkan kepada umum butiran rundingan sekiranya semua prosedur dan ruang penyelesaian telah dilaksanakan dengan sewajarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button