Todak Academy, Metadise sasar pendidikan digital e-sukan di lebih 100 sekolah Sarawak
KUCHING – Todak Academy Sdn Bhd dan Metadise Sdn Bhd menjalin kerjasama strategik bagi memperluas akses pendidikan digital, memperkukuh kemahiran teknologi serta membangunkan bakat e-sukan dalam kalangan generasi muda di Sarawak.
Kerjasama itu menyasarkan pelaksanaan program pendidikan digital di lebih 100 sekolah dengan penyertaan sekurang-kurangnya 1,250 pelajar di seluruh negeri.
Majlis pertukaran Memorandum Perjanjian itu disaksikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas bersempena Borneo Animation & Games Festival (BAGFEST) 2026 di Kuching.
Todak Academy berkata, kerjasama berkenaan menggabungkan kepakaran pihaknya dalam pendidikan digital, pembangunan kurikulum, latihan, modul pembelajaran dan jaminan kualiti dengan kekuatan Metadise dalam aspek infrastruktur, sokongan teknikal, penyelarasan program, pemasaran serta penglibatan komuniti.
“Kerjasama ini bukan sekadar untuk meningkatkan jumlah penyertaan, tetapi membentuk satu saluran pembangunan bakat digital yang berterusan dengan melengkapkan pelajar bukan sahaja sebagai pengguna teknologi, malah sebagai pencipta, penghasil, profesional digital dan bakat esukan masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Program yang bakal diperkenalkan merangkumi pengaturcaraan, pembangunan permainan, animasi 3D, kecerdasan buatan (AI), robotik dan pendidikan e-sukan.
Melalui program itu, pelajar akan mendapat pendedahan praktikal terhadap teknologi serta kemahiran yang relevan dengan keperluan ekonomi digital.
Menurut Todak Academy, kerjasama itu juga membolehkan sekolah mendapatkan akses kepada program pendidikan digital yang berstruktur, berkualiti dan berorientasikan industri tanpa perlu membangunkan sendiri keseluruhan kandungan, kepakaran latihan serta sokongan teknikal.

Dalam kerjasama tersebut, Todak Academy akan menerajui aspek kepakaran pendidikan dan pelaksanaan program, manakala Metadise memperkukuh aspek infrastruktur, pelaksanaan serta capaian komuniti.
Pendidikan e-sukan turut menjadi komponen penting dengan pendekatan yang menekankan pembangunan kemahiran secara tersusun, bukan sekadar penyertaan dalam pertandingan.
Menerusi pendekatan itu, pelajar berpeluang membangunkan kemahiran kerja berpasukan, komunikasi, disiplin, pemikiran strategik dan kepimpinan, selain memahami peluang kerjaya serta ekosistem industri e-sukan.
Inisiatif berkenaan turut berpotensi menjadi asas kepada pembangunan bakat dan atlet e-sukan Sarawak yang berpeluang melangkah ke pertandingan bertaraf lebih tinggi, termasuk laluan berkaitan Sukan SEA di Sarawak, tertakluk kepada program pembangunan dan pemilihan berkaitan.
Todak Academy dan Metadise turut menyifatkan kerjasama itu sebagai platform jangka panjang untuk memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan industri, selain meningkatkan akses kepada pembelajaran digital di Sarawak.
Kedua-dua organisasi komited bekerjasama dengan sekolah, pihak berkepentingan dalam sektor pendidikan, komuniti dan rakan industri bagi mewujudkan ekosistem pendidikan digital serta e-sukan Sarawak yang lebih kukuh, inklusif, inovatif dan bersedia memenuhi keperluan masa depan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








