BERITA SEMASA

Rawatan hydrogen inhaler: KKM beri amaran jangan mudah terpengaruh

PETALING JAYA – Orang ramai, terutama warga emas, dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan mengenai manfaat kesihatan atau kesan rawatan yang dikaitkan dengan penggunaan mesin hidrogen atau hydrogen inhaler.

Kementerian Kesihatan (KKM) berkata, orang ramai perlu memastikan peranti perubatan yang ingin dibeli atau digunakan di Malaysia mempunyai pendaftaran dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) di bawah Akta Peranti Perubatan 2012 (Akta 737).

Menurutnya, penjualan, pengedaran atau pengiklanan peranti perubatan yang tidak berdaftar merupakan satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan penguatkuasaan.

“KKM mengambil maklum mengenai aktiviti penjualan dan promosi peranti berkenaan, termasuk pelbagai dakwaan berkaitan kesan rawatan serta manfaat kesihatan yang dikaitkan dengannya.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan yang menjanjikan kesan rawatan atau manfaat kesihatan sekiranya ia belum dibuktikan secara saintifik atau mendapat kelulusan pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KKM turut menggesa orang ramai menyemak terlebih dahulu status pendaftaran sesuatu peranti melalui laman sesawang rasmi MDA sebelum membuat pembelian.

Pada masa sama, orang ramai diminta berwaspada terhadap kaedah jualan yang menyasarkan golongan warga emas, terutama jika melibatkan tekanan atau rayuan emosi bagi mendorong mereka membeli produk berkenaan.

“Sebarang aduan berkaitan penjualan peranti tidak berdaftar atau iklan yang mengelirukan boleh dikemukakan kepada KKM atau MDA untuk tindakan dan siasatan lanjut,” kata KKM.

Sebelum ini, beberapa video tular di media sosial memaparkan individu yang didakwa menjalani rawatan menggunakan air hidrogen, dengan dakwaan ia mampu merawat pelbagai penyakit termasuk diabetes, penyakit jantung dan tekanan darah tinggi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button