Mayat wanita dalam beg di Sungai Perak masih belum dikenal pasti
KUALA KANGSAR – Identiti seorang wanita yang ditemukan maut di dalam sebuah beg pakaian di Sungai Perak berhampiran Jeti Lembah, di sini Jumaat lalu, masih belum dikenal pasti.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Heisham Harun berkata, usaha mengenal pasti mangsa sedang giat dijalankan termasuk semakan cap ibu jari oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Perak.
Bagaimanapun, semakan berkenaan tidak menemukan sebarang rekod yang sepadan.
Beliau berkata, mangsa dipercayai bukan warga tempatan berdasarkan ketiadaan kesan suntikan imunisasi Bacille Calmette-Guerin (BCG) pada tubuhnya.
“Bedah siasat yang dijalankan pakar patologi forensik Hospital Taiping mendapati mangsa ialah wanita berusia lingkungan 30-an.
“Namun, identitinya masih belum dapat dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan diri ditemukan bersamanya,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Heisham, mangsa mempunyai ketinggian kira-kira 154 sentimeter dan berat 48 kilogram, berkulit sawo matang serta berambut hitam paras bahu.
BACA JUGA:
Mayat dalam beg pakaian ditemukan terapung di Sungai Perak
Ketika ditemukan, wanita itu lengkap berpakaian dengan baju lengan panjang berbelang putih dan hitam, seluar jeans hitam serta memakai anting-anting.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau kehilangan ahli keluarga yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan supaya tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan kepada pegawai penyiasat, Asisten Superintenden Mohamad Fadhil Ab Wahab di talian 019-7272033 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Kangsar di talian 05-7762222.
Terdahulu, mayat wanita berkenaan ditemukan orang awam di dalam sebuah beg pakaian di kawasan cetek Sungai Perak berhampiran Jeti Lembah pada 14 Ogos lalu.
Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |




