BERITA SEMASA

Awaludin kembali terajui DUN Negeri Sembilan sebagai Speaker

SEREMBAN – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Datuk Seri Dr Awaludin Said, 65, kembali menerajui Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan selepas dipilih sebagai Yang Dipertua DUN atau Speaker pada persidangan khas hari ini.

Pelantikan Awaludin dibuat selepas beliau dicadangkan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim dan disokong ADUN Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli.

Tiada calon lain dikemukakan bagi jawatan berkenaan pada Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan Ke-16.

Awaludin yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau pernah memegang jawatan Speaker DUN Negeri Sembilan dari Jun 2013 hingga April 2018.

Beliau turut mempunyai pengalaman sebagai ADUN Kota selama empat penggal iaitu dari 2004 hingga 2023.

Dalam persidangan sama, ADUN Paroi yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Kamarol Ridzuan Mohd Zain, 59, dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua DUN.

Pencalonan Kamarol Ridzuan turut dikemukakan Ismail dan disokong Mohd Faizal.

Tiada pencalonan lain dikemukakan bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua DUN sebelum Awaludin memasyhurkan pelantikan tersebut.

Terdahulu, semua ADUN kecuali ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan menyempurnakan upacara mengangkat sumpah jawatan dan menandatangani surat sumpah sebagai Ahli DUN di hadapan Yang Dipertua DUN.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button